PERMATANG PAUH – Calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin berikrar
untuk terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun tewas pada Pilihan
Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Beliau menerima keputusan itu dengan berlapang dada dan melihatnya
sebagai keputusan keseluruhan seluruh pengundi di kawasan parlimen itu.
“Medan PRK ini adalah pengalaman berharga dalam karier politik saya.
Saya amat berterima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah menyokong
saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi
Parlimen itu dengan majoriti 8,841 undi apabila memperoleh 30,316 undi
untuk mengalahkan Suhaimi, yang mendapat 21,475 undi.
Dua lagi calon iaitu Salleh Isahak (Bebas) mendapat 367 undi dan
Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia memperoleh 101 undi.
Undi rosak ialah 843 undi.
Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata PRK
kali ini menyaksikan kerjasama yang terbaik dalam kalangan parti
komponen.
“Semua parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan Parti
Progresif Penduduk (PPP) bersatu padu dan menunjukkan usaha yang
bersungguh-sungguh.
“Namun, ini adalah keputusan peti undi dan kita akan buat
‘post-mortem’ bagi mengenal pasti apa kekurangan yang boleh diperbaiki,”
katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin
Osman berkata keputusan PRK itu adalah mesej yang diberi pengundi untuk
terus bekerja keras pada masa depan.
“Ini akan dijadikan pedoman untuk perjuangan kita. Kita ada calon yang baik, orang muda, anak tempatan, tiada masalah.
“Kita juga mempunyai jentera yang lengkap berusaha sepenuh daya dan
tenaga, tetapi apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya,”
katanya. – BERNAMA