KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
berkemungkinan besar akan dicabar dua calon lain dalam usaha beliau
mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, dua calon lain terbabit ialah Ahmad Awang dan Datuk Husam Musa.
“Manakala bagi jawatan timbalan presiden pula, empat nama layak
bertanding iaitu Mohamad Sabu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Mohd
Amar Abdullah dan Husam,” katanya pada satu sidang media di sini hari
ini.
Asmuni turut memaklumkan seramai 12 orang layak bertanding jawatan
Naib Presiden PAS termasuk Tuan Ibrahim. Husam Musa, Salahuddin Ayub dan
Datuk Mahfuz Omar.
Turut layak bertanding jawatan itu Datuk Mohd Amar Abdullah, Idris
Ahmad, Nasaruddin Hassan Tantawi, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk
Iskandar Abdul Samad, Mohamad Noor Mohamad, Mohamad Sabu dan Dr.
Dzulkefly Ahmad.
Menurut Asmuni, jawapan penerimaan atau penolakan mesti dikembalikan kepada beliau melalui dua kaedah.
Mereka boleh membuat serahan tangan sama ada sendiri atau wakil pada 18 dan 19 Mei dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Jika dibuat melalui serahan pos, surat mesti sampai sebelum jam 5.00 petang pada 19 Mei.
“Sekiranya kami tidak menerima jawapan pencalonan ini dalam waktu
yang ditetapkan, maka mereka dianggap menolak pencalonan tersebut,”
katanya.
Asmuni turut memaklumkan Suhaizan Kayat berkemungkinan akan ditentang
empat calon lain termasuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Raja
Ahmad Iskandar Raja Yaacob.