Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
KOTA KINABALU – Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata
beliau tidak mengetahui secara pasti golongan yang membuat protes
terhadap calon PKR bagi PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail.
Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyan Pas Sabah di
sini hari ini, beliau berkata mungkin golongan itu adalah pihak yang
cuba membuat provokasi pada musim pilihan raya parlimen di kawasan
berkenaan.
Ketika ditanya sebab beliau tidak turun berkempen di Permatang Pauh,
Abdul Hadi berkata, beliau sibuk dengan program parti yang diatur lebih
awal selain terpaksa berulang ke hospital untuk menerima rawatan.
Mengenai pendirian Pas Pusat berhubung anggota PR Sabah khususnya DAP
yang menolak pembabitan Pas dalam PR Sabah, Abdul Hadi berkata,
terpulanglah kepada PR negeri masing-masing untuk membuat keputusan
namun Pas masih anggota PR Pusat.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan Pas tetap dengan
pendiriannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan berpegang
kepada persetujuan dicapai di kalangan pemimpin-pemimpin PR sebelum ini
yang memulangkan kepada parti masing-masing dalam soal pendirian parti
yang berbeza.
Katanya Pas akan melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negara
ini secara demokrasi dan Pas mengemukakan hukum hudud di Kelantan serta
undang-undang jenayah syariah di Terengganu kerana parti itu menang
besar dalam beberapa pilihan raya umum lalu di negeri berkenaan. –
BERNAMA