Ada Pihak Cuba Burukkan Imej Puteri UMNO?

ALOR SETAR - Pergerakan Puteri UMNO menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan kononnya jurucakap Familia MyVi Club (FMC) yang dikenali sebagai Yana merupakan ahli sayap parti berkenaan.

Dipercayai dakwaan itu berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej sayap UMNO itu, Ketuanya, 
Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut meminta pihak berkuasa menyiasat dalang di sebalik mengendalikan laman rasmi FMC di Facebook.

“Saya sudah rujuk nama pengendali laman FB itu dan mendapati, tidak mempunyai rekod di dalam senarai ahli Puteri UMNO Gombak seperti yang didakwa," nafi beliau.

Mas Ermieyati menegaskan bahawa setelah dirujuk pada ahli-ahli pergerakan itu di bahagian Gombak, mereka turut tidak mengenali wajah individu tersebut.

“Malah, wajah yang dipaparkan didakwa pengendali laman terbabit juga tidak dicam oleh ahli Pergerakan Puteri UMNO Gombak sendiri,"katanya dalam satu kenyataan. 

Pihak tertentu sebelum ini suka mengaitkan Pergerakan Puteri UMNO dengan insiden-insiden viral dan sering mendakwa individu yang dikecam dalam isu berkenaan sebagai salah seorang ahli sayap UMNO itu.

Antara tohmahan yang pernah dilemparkan pada sayap parti berkenaan adalah insiden "Kiki dengan stering lock" meskipun tuduhan tersebut dibuktikan sebagai tidak benar. -Kedahnews.com