Faizznur Asyraf Husain bersama dua anak mangsa |
ALOR SETAR - Adik bongsu mangsa nahas kemalangan jalan raya Lebuhraya Duta-Ulu
Kelang (DUKE), Faizznur Asyraf Husain, 25, berkata sekiranya benar
pemandu Perodua Myvi yang menyebabkan kematian abangnya tiga beranak
disabitkan bersalah, dia mahu keenam-enam pemandu yang berlumba itu
dikenakan hukuman yang sama.
Perkara itu menurutnya adalah lebih bersifat adil dan saksama bagi
menuntut pembelaan di atas kematian abang, kakak ipar dan anak
saudaranya.
“Kita dimaklumkan ada enam pemandu tapi dua sahaja yang terlibat dengan kemalangan.
“Kalau daripada ura-ura dua pemandu ini akan disabitkan kesalahan
kalau benar, bagi saya, saya tak nak dua orang, saya nak keenam-enamnya
sekali baru adil dan saksama.
“Kalau berpunca tidak dari seorang (berlumba), takkan semua ikut,
bermakna kalau dua dah kena, yang lain tetap kena, itu adil bagi saya,”
katanya ketika ditemui sebuah portal online di kediaman ibunya di Taman Batu Muda,
Batu Caves hari ini.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.05 pagi Sabtu lalu,
Fairuz Nizam Husain, 35, isteri, Nova Safitri Azhari, 27, dan anak
bongsu mereka, Nur Firuza Annisa, tujuh bulan maut selepas kereta Pajero
Sport yang dinaiki mereka dirempuh dua kereta Myvi yang dipercayai
sedang berlumba pada ketika itu.
Akibat rempuhan itu, Fairuz Nizam maut di tempat kejadian sementara
Nova dan Firuza Annisa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di
Hospital Kuala Lumpur.
Jenazah tiga beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatus Sakinah, Gombak.