"Ahli Akar Umbi Masih Perlu Saya Pimpin PAS" - Abdul Hadi

ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa majoriti ahli PAS di peringkat akar umbi di seluruh negara masih memerlukan beliau untuk menjadi pemimpin nombor satu parti itu.

Kata Abdul Hadi, atas faktor itulah beliau tegaskan sekali lagi untuk mempertahan jawatan Presiden PAS yang disandangnya pada pemilihan parti tersebut yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.

"Saya akan pertahankan jawatan Presiden PAS sebab ahli di peringkat akar umbi masih memerlukan saya (untuk memimpin parti)," katanya kepada media selepas forum Bicara Harakah ibu negara, semalam.

Presiden PAS itu berkata demikian ketika diminta pihak media untuk mengulas mengenai keputusan bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang, untuk mencabar beliau merebut jawatan yang disandangnya itu.

Ahmad melayakkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Pas selepas dicalonkan oleh Pas Kawasan Bukit Gelugur.

Beliau juga disahkan mengalahkan Abdul Hadi dalam pemilihan PAS Kawasan Jelebu, Negeri Sembilan, setelah menerima 41 undi, berbanding Abdul Hadi yang mendapat 16 undi.

 PAS kawasan itu juga sebulat suara mencalonkan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS.

Pada 21 Mac lalu, Ahmad yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perak telah mendapat pencalonan pertamanya sebagai Presiden PAS dari kawasan Parit Sulung, Johor.

Menurut Perlembagaan PAS, seseorang yang berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden parti itu hanya memerlukan pencalonan minimum dari dua PAS Kawasan untuk bertanding jawatan berkenaan.

Untuk rekod, jawatan Presiden PAS tidak pernah dipertandingkan sejak parti itu ditubuhkan pada 1951 dan ini merupakan kali pertama ia dicabar secara demokrasi. -Kedahnews.com