INILAH potret yang menunjukkan seorang anak muda tampan dengan susuk tubuh sasa, ditemui sejarawan Mark Griffiths dalam sebuah buku. - Foto Reuters |
LONDON – Seorang sejarawan British pada Selasa mengumumkan beliau
sudah menemui satu-satunya potret William Shakespeare yang dihasilkan
ketika penulis tersohor itu masih hidup.
Potret itu yang menunjukkan seorang anak muda tampan dengan susuk
tubuh sasa, ditemui seorang ahli botani dan sejarawan Mark Griffiths
dalam sebuah buku setebal 1,484 halaman mengenai tumbuhan ‘The Herball’
daripada abad ke-16.
“Inilah kali pertama kita temui potretnya dan dikenal pasti sebagai
beliau yang dihasilkan ketika hayatnya,” kata Mark Hedges, pengarang
majalah Country Life yang akan menyiarkan rencana mengenai penemuan itu
dalam terbitan pada Rabu.
“Dua lagi potret tulen Shakespeare dibuat selepas ketiadaannya.
Jadi, ini sesungguhnya suatu penemuan besar yang mana kita dapat tahu
rupa sebenar penulis tersohor itu,” katanya. Dalam buku itu yang mana
mengikut Griffiths menunjukkan Shakespeare ketika berusia 33 tahun,
memaparkan empat orang yang sebelum ini dianggap sebagai susuk bayangan
sahaja.
Tegas Griffiths susuk berkenaan adalah orang sebenar, yang mana bunga
dan tumbuhan di sekeliling mereka adalah kod untuk mendedahkan identiti
sebenar mereka, satu bentuk teka-teki yang popular ketika zaman Ratu
Elizabeth I.
Shakespeare dikenal pasti kerana berpakaian sebagai seorang penyair
dan memegang rama-rama fritillary dan jagung manis yang mana mengikut
Griffiths merujuk kepada puisi “Venus and Adonis” dan teater “Titus
Andronicus”.
Lingkaran daun laurel yang dipakai Shakespeare menujukkan puisi
klasik yang memberi inspirasi kepadanya dan teks latin sifer di bawah
potret itu tertera perkataan “William Shakespeare” selepas kod itu
dipecahkan, kata Griffith.
Beliau mengenal pasti tiga lagi individu dalam potret itu sebagai
pengarang buku John Gerard, ahli botani terkemuka Rembert Dodoens dan
Bendahari Ratu Elizabeth, Lord Burghley.
Bagaimanapun, beberapa pakar lain masih ragu dengan dakwaan Griffith itu. – AFP