Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah |
ALOR SETAR – Rakyat diharap akan lebih memahami tentang kebaikan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) apabila Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 21 Mei
ini, kata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) itu berkata, Najib akan mengumumkan laporan tentang pelaksanaan
GST pada pembentangan rancangan lima tahun itu.
“Saya percaya selepas pembentangan laporan perolehan GST nanti rakyat
akan nampak kesan dan kebaikan GST. Mereka akan dapat balik apa yang
mereka sumbang cukai GST enam peratus ketika ini,” katanya ketika
ditemui pada Majlis Semarak Kejiranan anjuran Umno Bahagian Alor Setar
di sini.
Menurutnya, perlaksanaan GST itu adalah tindakan yang baik untuk
ekonomi negara dan berharap masyarakat akan lebih memahaminya menerusi
bahan-bahan penerangan sedia ada.
Ahmad Bashah juga berkata, kementeriannya akan mendakwa lebih banyak
syarikat yang menggunakan perlaksanaan GST untuk sengaja mengaut
keuntungan secara berlebihan.
Tindakan tegas itu katanya, bakal diambil terhadap peniaga terbabit
selepas pihaknya memiliki bukti-bukti kukuh tentang pelanggaran Akta
Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
Katanya tindakan yang diambil itu bertujuan menyedarkan
peniaga-peniaga supaya tidak menggunakan alasan GST untuk mengaut
keuntungan berlebihan dengan menaikan harga barangan pada harga tidak
munasabah.
“Kita juga hendak tunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan bertegas
terhadap peniaga yang ambil kesempatan. Kita juga telah ambil tindakan
dengan sita barang dan denda terhadap peniaga yang ingkar,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata orang ramai berhak untuk tidak
membayar caj perkhidmatan sekiranya restoran dan hotel tidak mempamerkan
notis mengenai caj itu dalam premis mereka.
Katanya orang ramai perlu melaporkan mengenai perkara itu untuk
tindakan tegas dikenakan terhadap pemilik hotel dan restoran yang
mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan mengenakan caj
perkhidmatan dan GST.
“Mereka kena faham caj perkhidmatan 10 peratus itu diberi kepada
pelayan restoran atau hotel yang mempunyai perjanjian dengan majikan
mereka. Yang tak ada perjanjian itu hasil caj tersebut akan masuk dalam
poket pengusaha dan ini adalah salah,” katanya. – BERNAMA