Aidil Hanya Mampu Beri Rita Rudaini RM20 Sehari

Pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan Abdul Razak, 28, mengaku dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam bahawa dia hanya mampu menanggung kos RM20 untuk perbelanjaan makan dan minum yang dituntut bekas isterinya, Rita Rudaini.

Sebelum ini, Rita, 39, dalam tuntutan nafkah tertunggak meletakkan nilai RM50 untuk kos tersebut.

Aidil menjelaskan bahawa kos RM10 adalah untuk perbelanjaan makan tengah hari dan bakinya, RM10 untuk perbelanjaan makan malam.

Dalam soalan yang dikemukakan peguam Rita, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain tentang perbelanjaan sarapan, minum petang dan makan lewat malam, Aidil berkata, dia jarang makan selain dari waktu tengah hari dan malam.

“Peruntukkan perbelanjaan makan dan minum bagi plaintif tidak melebihi RM1,000 sebulan, bukannya RM1,500 sebulan yang dituntut,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Selain itu, Aidil juga turut tidak bersetuju dengan Mohd Zaidi bahawa kos RM43 sebagai perbelanjaan makan harian Rita kerana nilai tersebut di luar kemampuannya.

Dalam jawapannya terhadap soalan peguam plaintif (Rita) berkenaan bil, terutamanya bil langganan Astro, Aidil berkata, perkhidmatan tersebut bukanlah wajib dan seseorang tidak akan mati andai tidak menontonnya.

Namun demikian, pemain yang memakai jersi bernombor 7 itu menjelaskan bahawa dia tidak pernah menyuruh Rita membatalkan langganan Astro. -Kedahnews.com