ALOR SETAR - Pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan Abdul Razak mengaku di mahkamah bahawa
beliau tidak mampu membayar tuntutan mutaah yang dikemukakan bekas
isterinya, Rita Rudaini berjumlah RM300,000.
Aidil selaku defendan berkata, dia mempunyai banyak perbelanjaan yang perlu
ditanggung khususnya selepas mendirikan rumah tangga dengan Zarema
Zainol dan dikurniakan seorang cahaya mata.
“Selain hutang peribadi seperti
kenderaan yang digunakan ketika bekerja, saya juga turut menanggung
kedua ibu bapa, bil utiliti dan keperluan sendiri,” jelas pemain bola sepak itu.
Selain itu, Aidil turut memberitahu bahawa dia menanggung nafkah kedua-dua anaknya hasil
perkahwinan dengan Rita, iaitu Airit Rayyan Rizqi, 6, dan Airit Qaqa
Arjuna, 4.
“Saya juga turut menyediakan peruntukan dengan membuka akaun Bijak
Manusia dan menyediakan simpanan di Tabung Haji serta insurans untuk
kedua-duanya,” katanya yang dipetik dari sebuah portal media, semalam.
Bagaimanapun, Aidil dilapor telah mempertikai tentang sumbangan Rita sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
“Sumbangan plaintif sepanjang tempoh perkahwinan tersebut
juga tidak melayakkan plaintif mendapat bayaran mutaah seperti yang
dipohon,” dakwa Aidil.
Bukan itu sahaja, Aidil turut mendedahkan bahawa Rita enggan pulang ke kampung halamannya dan melawat kedua ibu bapa mertua.
“Sepanjang tempoh perkahwinan, dia tidak pernah mengikut saya pulang ke rumah ibu bapa,” dedah Aidil lagi.
Mengulas lanjut, Rita dikatakan telah mengenakan syarat seandai ibu bapa Aidil ingin
melawat anaknya, maka mereka perlu datang ke rumahnya di Damansara.
Dia turut menyentuh isu pengurusan rumah tangga yang mana, Rita selalu menyerahkan urusan tersebut kepada pembantu rumah.
Dalam pada itu, kembar Aidil iaitu Zaquan Adha yang hadir sebagai
saksi menyifatkan tuntutan bekas kakak iparnya itu agak melampau berbanding cara
kehidupan plaintif sederhana.
Prosiding ditangguh ke 25 Mei depan. -Kedahnews.com