ALOR SETAR - Menerusi prosiding mahkamah baru-baru ini, pemain bola sepak negara, Aidil
Zafuan Abdul Razak memberitahu bahawa dia tidak mampu membayar tuntutan mutaah
yang dikemukakan bekas isterinya, Rita Rudaini, yang berjumlah RM300,000.
Mungkin tidak berpuas hati dengan hujah tersebut, Rita dilapor telah menempelak kenyataan
Aidil dengan mempertikaikan kehidupan mewah bekas suaminya itu.
“Betul ke dia tak mampu? Bukankah kehidupan dia cukup mewah? Ada
kereta mewah banyak dan kerap pergi bercuti. Gaya mewah hidupnya itu
sering ditunjukkan dalam laman Instagram.
“Mutaah itu satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada
isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum
syarak.
“Mungkin dia tak tahu kot gamaknya kerana bayaran edah yang wajib
kepada saya pun belum dibayar lagi,” tegas Rita yang dipetik dari Berita
Harian, semalam.
Selain itu, Rita juga turut nekad dan menegaskan dia akan berhabis-habisan menuntut haknya sebagai wanita yang teraniaya.
“Baru sekarang dia bagi alasan ceraikan saya sebab tak jalankan
tanggungjawab sebagai isteri. Barangkali dia lupa, Tuhan ada dan Maha
Melihat.
“Kalau macam itulah alasan dia, nasihat saya kepada mereka yang
bergelar isteri dan bekerja sepenuh masa dan ada pendapatan sendiri kena
bersiap sedia kalau diceraikan dan diberikan alasan tak
bertanggungjawab sebegitu.
“Selagi saya tak dapat apa yang saya nak, saya akan perjuangkan semua
ini. Tak kiralah orang nak keji saya itu dan ini. Saya ada alasan
konkrit,” kata Rita lagi.
Tambah aktres itu, tuntutan yang dibuatnya bukanlah kerana nilai pada wang RM300,000 itu,
namun lebih kepada ingin mempertahan maruahnya sebagai seorang wanita dan ibu.
Pelakon tersebut turut menjelaskan bahawa jumlah tersebut merupakan anggaran tempoh sejak dia
ditinggalkan bekas suaminya itu dan ia terpulang kepada penilaian pihak mahkamah. -Kedahnews.com