Aishah, Mat Taib Senada Dakwa PAS Tidak Lagi "For All"


Pelantun lagu Janji Manismu, Wan Aishah Wan Ariffin dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, senada mendakwa bahawa sikap pemimpin dalam PAS tidak lagi mewakili slogan ‘PAS For All’ yang dilaungkan mereka sebelum ini.

Aishah berkata, dia turut tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin tertinggi PAS yang menggunakan bahasa kesat dalam menyatakan pandangan yang dipercayai merujuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebagai orang baru, saya terkejut dengan penggunaan bahasa setengah-setengah orang yang dipanggil faqih dalam agama…rasanya dalam industri orang yang jahil pun masih ada sikap toleransi dan hormat. Sekarang maki hamunnya…

“Saya tak kecewa dengan perjuangan Islam tetapi saya kecewa dengan apa yang berlaku dalam PAS yang kononnya perjuangan Islam.

“Ini ke akhlak yang nak kita tunjukkan pada non muslims bila sesama jemaah pun berantakkan…respect has to be earned not commanded from…” katanya yang dipetik dari sebuah blog pro-pembangkang.

Minggu lalu, Abdul Hadi Awang dikatakan telah menggunakan perkataan ‘tolol’ dalam satu program dialog ‘Bicara Harakah’ di mana perkataan tersebut digunakan beliau bagi melabel pihak yang menuduhnya mahu berpecah dan tidak mahu menghadiri mesyuarat bersama Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Muhammad Taib atau lebih dikenali sebagai Mat Taib melihat PAS kini tidak lagi mempedulikan sokongan dari masyarakat bukan Islam.

Malah beliau turut tidak menafikan kemungkinan bakal keluar dari parti politik tersebut, namun akan memutuskan keputusan tersebut selepas selesai Muktamar PAS pada Jun depan.

"Kita mahukan seorang tokoh alim seperti Allahyarham Nik Aziz sebagai pemimpin. Semua orang suka dia. Orang Buddha suka, Hindu suka. Sekarang ini lain, Kini kita nampak tak lagi macam itu.

"Sahabat saya Tamrin dah cabut lari awal-awal. Dia kata PAS sekarang mengarut. Tapi saya bertahan lagi.

"Tengok bulan enam (Jun) ni macam mana," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam. -Kedahnews.com