Ajaib Dan Istimewanya Bumi Makkah Bukti Keagungan Allah SWT


ANTARA keajaiban ciptaan Allah SWT ialah Dia membuat hati manusia cenderung untuk menziarahi tempat-tempat suci-Nya serta rindu untuk berada di situ.

Dia juga telah mengukuhkan cinta tersebut dalam hati mereka hingga tidak dapat berpisah dengan tempat tersebut melainkan dengan perasaan sedih dan kecewa teramat dalam. 

Begitulah gambaran awal Ibnu Batutah ketika menceritakan keistimewaan bumi Mekah dalam bukunya, Rihlah Ibn Batutah.

Hakikat ini digambarkan oleh Allah SWT sendiri dalam al-Quran melalui doa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika membina Kaabah al-Musharrafah. (rujuk al-Baqarah: 126)

Imam al-Nawawi rha dalam hal ini berkata: “Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan kepada kebesaran yang dinamakan, sebagaimana banyaknya nama Allah SWT dan nama Rasul-Nya. Kita tidak mengetahui suatu tempat yang mempunyai banyak nama selain dari Mekah dan Madinah, kerana kedua-duanya merupakan sebaik-baik bumi. Disebabkan kerana banyaknya sifat yang boleh dinamakan kepada kedua-duanya.

Semoga Allah SWT memberi peluang kepada kita semua untuk menjadi Dhuyuf al-Rahman, melihat dan merasai sendiri kelazatan beribadah di kota Mekah yang dijanjikan Allah SWT dengan segala kelebihan dan pahala yang berganda-ganda buat hati yang ikhlas mendambakannya.

Nama-nama lain Mekah:
Bakkah (lembah air mata, Ali Imran: 96)

Ummul Qura (perkampungan tua, al-An’aam: 92)

Al-Balad (negeri, Ibrahim-35)

Al-Balad al-Amin (negeri yang aman, at-Tiin: 3)

Al-Baldah (negeri, an-Naml: 91)

Haraman Amina (tanah suci yang aman, al-Ankabut: 67)

Wad Ghairu DziZar’in (lembah yang gersang, Ibrahim: 37)

Ma’ad (tempat kembali, al-Qashash: 85)

Qaryah (negeri/kampung, Muhammad: 13)

Al-Masjid al-Haram (al-Baqarah: 144)
Kelebihan dan keberkatan daripada al-Quran dan hadis:
Sebagai tempat rumah ibadat pertama di bumi iaitu Baitullah. (rujuk Ali Imran: 96)

Dijanjikan keamanan dan kemakmuran oleh Allah SWT, ia merupakan tempat yang diharamkan pertumpahan darah padanya. (rujuk al-Ankabut: 67)
Al-Maghariy berkata, bangsa Arab sejak dahulu lagi telah sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah.

Mekah yang terdapat Baitullah padanya dijanjikan-Nya dengan keberkatan dan pahala berganda-ganda kepada sesiapa yang memasuki serta beribadat di dalamnya.
“Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 kali solat di masjid lain kecuali Masjid al-Haram, solat di Masjid al-Haram lebih afdal 100 kali daripada solat di masjidku ini (iaitu 100,000 kali dari masjid lain).” (riwayat Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabrani)
Bukan sahaja orang yang hidup dan beribadat padanya memperoleh kelebihan, bahkan orang yang mati di bumi Mekah dan juga Madinah dijanjikan dengan kelebihan yang tersendiri.

Nabi SAW bersabda: 
“Sesiapa mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat untuk orang yang mati di situ.” (riwayat Ahmad)
Kewujudan Telaga Zam-Zam yang mempunyai sejarah dan kelebihannya dalam merawat penyakit. Dalam sebuah hadis Nabi SAW telah bersabda: 
"Sebaik-baik air yang ada di muka bumi adalah Zam-Zam. Di dalamnya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit." (riwayat Muslim)

Air Zam-Zam tidak pernah kering sehingga ke hari ini walau diminum berjuta-juta orang. Saintis Jepun, Dr. Masari Emoto yang mendapati bahawa air Zam-Zam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain. 

Beliau juga mendapati molekul air itu adalah bercabang-cabang dan berkilauan serta begitu kukuh, strukturnya tidak berubah walau apa jua tekanan. Malah, ia mampu merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu.

Kelebihan nukilan ulama

Tempat dibangunkan rumah Allah (Baitullah) pertama kali. Nabi Adam yang diperintah Allah untuk mendirikan Baitullah. Allah memberikan petunjuk berupa cahaya yang turun dari langit membentuk mihrab. 

Jadi, tapak Kaabah itu berbentuk mihrab masjid, tapi pada masa Sultan Murad IV dipotong menjadi simetris. Sisa potongan itulah, Hijr Ismail yang tidak boleh masuk ke dalamnya saat melakukan tawaf, kerana masuk ke situ sama dengan memasuki Kaabah.

Kota kelahiran Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman.

Tempat pertemuan Adam dan Hawa yang mana setelah dikeluarkan dari syurga, mereka berdua hidup mengembara selama 200 tahun sehingga Allah mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah, Arafah, tanggal 9 Zulhijah. Arafah masih termasuk Kota Mekah.

Tempat beribadah para hamba-Nya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya, baik yang dekat mahupun yang jauh, iaitu dalam mengerjakan haji.

Tempat yang tidak boleh seorang pun masuk ke dalamnya kecuali dengan kerendahan hati, khusyuk, kepala terbuka dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia.

Tempat yang tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hamba-hamba-Nya untuk menghadap dan melambaikan tangan, kecuali kepada Kaabah, Hajarul Aswad, Rukun Yamani yang adanya di kota Mekah.

Tempat Allah memberikan balasan bagi siapa saja yang berniat jahat, walaupun belum melakukannya. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya akan dilipatgandakan. Ia adalah kerana melakukan kejahatan di Tanah Suci, lebih besar dosanya dibandingkan di tempat-tempat lain.

Tempat-tempat mustajab berdoa. Misalnya di Hajar Aswad, Rukun Yamani, Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Telaga Zam-Zam, Arafah saat berwukuf dan lain-lain.

Tempat dilarang orang-orang kafir termasuk Dajjal untuk memasukinya.

Tempat yang sentiasa dijaga para malaikat.

(Sumber: Buku Sejarah Mekah Dulu dan Kini, tulisan Dr. Muhammad Abdul Gani)