Ambiga Ditahan

KUALA LUMPUR – Seramai 30 individu termasuk bekas pengerusi bersama Bersih, Datuk S. Ambiga ditahan bagi membantu siasatan susulan penglibatan mereka dalam Perhimpunan Bantah GST di ibu kota petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 60 tahun disiasat di bawah Seksyen 143, Seksyen 448 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1985.

“Ambiga ditahan pada pukul 10 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat esok,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu polis memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap peserta perhimpunan berkenaan yang antaranya dipercayai melakukan vandalisme terhadap harta awam serta menggunakan bom asap dan membawa kanak-kanak ketika perhimpunan. – BERNAMA