Amuk Penyokong Terengganu: KJ Mahu FAM Bertindak Tegas

image

ALOR SETAR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden rusuhan yang berlaku sejurus tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu.

Kejadian tersebut menyebabkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang menjadi venue kedua-dua pasukan berentap, mengalami kerosakan teruk.

Menurut Khairy, Jawatankuasa Disiplin FAM harus menyiasat kes tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang mencetuskan ketegangan kerana menjejaskan imej bola sepak Malaysia serta mengancam nyawa penonton lain.

khairy

“Saya tegaskan di sini, merusuh adalah tindakan yang tidak dapat diterima sama sekali dan keputusan pengadil yang tidak memuaskan tidak harus dijadikan alasan,” ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, beliau turut berharap pihak FAM bertindak menangani tanggapan buruk penonton terhadap mutu pengadilan bola sepak negara ini.

Ujarnya, FAM perlu menjelaskan tentang perkara tersebut memandangkan insiden rusuhan berpunca daripada pengadilan bola sepak semalam, pernah berlaku sebelum ini.

“FAM perlu memberitahu peminat bola sepak tempatan apakah prosedur-prosedur penilaian pengadil serta apakah tindakan dikenakan sekiranya terbukti keputusan yang dibuat adalah salah bagi menangkis persepsi negatif.”

bakols.transformed

Mengimbas kejadian dua hari lalu, kekecohan bermula setelah gol keempat yang dijaringkan Terengganu dinafikan pengadil, menyebabkan sebahagian penonton tidak berpuas hati.

Lantas, mereka mengamuk sehingga menyebabkan kerosakan besar di dalam stadium melibatkan kawasan tempat duduk. Bukan itu sahaja, sebuah ambulans turut hangus dibakar.