Gambar hiasan |
KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda hilang pertimbangan dengan
bertindak mengejar bapanya sambil memegang pisau selepas ditegur oleh
bapanya dalam satu kejadian di Felda Cherul, Kemaman pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah
berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, bapa pemuda itu
yang merupakan seorang peneroka terdengar anaknya telah bertengkar
dengan ibunya di kediaman mereka.
Katanya bapa yang berusia 51 tahun telah mendekati dua beranak itu
sebelum mendapati anaknya mengamuk dengan mengugut untuk merosakkan
barangan di dalam rumah.
“Si bapa mendekati anaknya dan menasihati supaya tidak terus
bertengkar dengan ibunya lagi. Namun tidak sangka disebabkan teguran itu
anaknya terus naik berang dan bertindak di luar kawalan dengan memukul
bapanya menggunakan batu-bata.
“Selepas itu, anaknya itu terus bertindak agresif dengan mengambil
pisau dari dapur rumah mereka lantas mengejar bapanya sekeliling rumah,”
katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya kejadian itu dipercayai berpunca selepas permintaan pemuda
berkenaan untuk mendapatkan wang tidak dilayan dan anaknya yang berusia
21 tahun itu bertindak memarahi ibu dan mengugut bapanya.
Bimbang dengan keselamatan, bapanya telah membuat satu laporan polis
dan pihak polis percaya ketika kejadian, pemuda itu berada dalam
pengaruh dadah. – BERNAMA