Gambar Hiasan |
BUKIT MERTAJAM – Polis menembak mati seorang anggota kongsi gelap
dalam kejadian berbalas tembakan di depoh simpanan minyak di Taman Seri
Rambai, di sini kira-kira pukul 5.45 pagi ini.
Terdahulu sebelum kejadian, lelaki yang merupakan anggota kongsi
gelap Sio Sam Ong menembak mati kenalannya ketika bergaduh di sebuah
pusat hiburan berhampiran depoh terbabit.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis
menerima maklumat kira-kira pukul 2.30 pagi ini memaklumkan seorang
lelaki mati di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Seri Rambai, di
sini.
“Polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati terdapat mayat
seorang lelaki berusia 30 tahun dan hasil siasatan kami berjaya mengesan
suspek yang bersembunyi di sebuah kontena di depoh simpanan minyak
tersebut.
“Kira-kira pukul 4 pagi sepasukan polis mengepung kawasan depoh yang
terletak 500 meter dari pusat hiburan itu serta meminta lelaki berusia
40 tahun terbabit menyerah diri, bagaimanapun dia enggan,” katanya
kepada pemberita di tempat kejadian.
Abdul Rahim berkata sejam lebih selepas itu, lelaki berkenaan
bertindak melepaskan tembakan ke arah polis dan anggota bertugas
terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri serta terkena geng
kongsi gelap terbabit.
Katanya lelaki itu yang baru sahaja dibebaskan dari penjara dua bulan
lepas dan berasal dari Padang Serai, Kedah, mati di tempat kejadian
akibat terkena tembakan.
“Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan
bertindak menembak kenalannya yang berasal dari Taman Seri Rambai kerana
tidak berpuas hati dengan urusan penjualan dadah,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan rakaman CCTV yang terdapat di pusat
hiburan itu, suspek datang dengan menaiki sebuah kereta sebelum masuk ke
premis terbabit dan keluar semula bersama mangsa sebelum berlaku
pertengkaran serta tolak menolak antara mereka.
“Sebaik keluar dari pusat hiburan itu, lelaki berkenaan masuk semula
ke dalam keretanya dan mengambil sepucuk pistol jenis semi auto serta
melepaskan tembakan ke arah mangsa yang berada di luar premis terbabit
lalu melarikan diri ke arah depoh simpanan minyak tersebut,” katanya.
Abdul Rahim berkata pemeriksaan polis mendapati lelaki berkenaan
melepaskan lima das tembakan ke arah mangsa dengan tiga daripadanya
terkena dada kiri dan perut kenalannya manakala dua tersasar.
Katanya ketika kejadian, terdapat lebih 100 pengunjung pusat hiburan
dan kesemua mereka kemudian lari bertempiaran menyelamatkan diri.
Mayat mangsa dan suspek berkenaan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, anggota kongsi gelap itu
mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes bunuh, memiliki
senjata api dan ugutan jenayah manakala mangsa juga mempunyai tiga rekod
jenayah membabitkan kes dadah. – BERNAMA