Angin.. salah satu ciptaan Allah SWT yang istimewa... |
ANGIN adalah makhluk Allah SWT yang sangat hebat. Ada masa tiupan mesranya membawa rahmat dan ada masanya hembusan ganasnya memusnahkan alam.
Dalam bicara al-Quran, perkataan “angin yang muncul dalam lafaz banyak (plural) – al-riyah membawa erti tiupan angin yang baik bersadur rahmat, manakala perkataan “angin yang muncul dalam lafaz tunggal (singular) – al-rih membawa maksud tiupan angin azab yang memusnahkan manusia.
Ayat ini menjadi contohnya, Allah berfirman yang bermaksud:
Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa). (al-Rum: 51)
Saya langsung terpegun ketika meneliti tafsir ayat ini.
Imam Ibnu Kathir mengutip sebuah athar (riwayat daripada sahabat) daripada Imam Ibnu Abi Hatim yang menceritakan bagaimana Abdullah ibnu Amru membahagikan angin yang disebut al-Quran kepada lapan jenis. Empat angin baik dan empat angin azab. (Tafsir Ibnu Kathir)
Empat angin rahmat itu adalah al-dhariyat, al-mursalat, al-mubasysyirat dan al-nasyirat. Semua angin ini disebut pada awal surah al-Dhariyat (51:1), surah al-Mursalat (77: 1 & 3) dan surah al-Rum (30:46).
Angin pemusnah
Angin azab juga berjumlah empat, dua daripadanya memusnahkan makhluk di darat dan dua lagi di lautan. Angin pemusnah di daratan adalah al-sarsar dan al-‘aqim.
Manakala dua jenis angin pemusnah di daratan ini disebut dalam kisah pemusnahan kaum ‘Ad dalam surah al-Dhariyat (51:41) dan surah al-Haqqah (69:6).
Dua angin pemusnah di lautan pula al-qasif dan al-‘asif. Kedua-duanya disebut dalam surah al-Isra’ (17:69) dan surah Yunus (10:22).
Subhanallah! Hebat sungguh para sahabat yang bernafas dengan al-Quran kerana mampu melihat rahsia alam dengan memerhatikan isi kandungan al-Quran.
Jika riwayat ini sahih, penemuan Abdullah ibnu Amru ini berlaku jauh sebelum ilmu kaji cuaca atau meteorologi ditemui manusia moden.
Inilah sebabnya Allah SWT mengarahkan kita memerhatikan isi kandungan al-Quran secara mendalam kerana padanya terdapat banyak rahsia alam yang sangat berguna untuk manusia.
Ya Allah! Kayakan ilmuku dengan al-Quran.
Sumber: Utusan