Wajah seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ugut dan tipu yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju disini, hari ini. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR – Seorang kasanova laman sosial berumur 21 tahun menipu
dan mengugut kenalannya sehingga menyebabkan kerugian wang tunai
sebanyak RM65,000 dalam kejadian di Taman Setapak Jaya sejak 21 April.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata,
suspek dikenali sebagai Kong Hou Woon, No kad pengenalan:
940612-01-6629 dan alamat terakhirnya No. 11, Jalan Cantik 2, Taman
Cantik, 86200 Simpang Rengam, Johor.
Suspek dan mangsa yang berusia 20 tahun mula berkenalan melalui laman sosial WeChat sejak bulan lepas.
"Dalam kejadian pertama, pada 10 pagi 21 April itu, suspek datang ke
rumah mangsa di Taman Setapak Jaya dan mengugut mangsa dengan sebatang
besi hitam sebelum meminta mangsa menyerahkan sejumlah RM30,000.
"Suspek mengugut jika mangsa enggan berbuat demikian, dia akan
bertindak menyebarkan gambar separuh bogelnya ke dalam internet.
"Mangsa
yang takut, kemudiannya pergi ke bank sebelum mengeluarkan duit itu dan
menyerahkan kepada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat
Polis Daerah Wangsa Maju di sini, hari ini.
Mohamad Roy berkata keesokannya, suspek sekali lagi pergi ke rumah
mangsa dan meminta wang RM35,000 lagi dengan menggunakan taktik yang
sama bagi menakutkan mangsa.
Hasil maklumat daripada mangsa, siasatan polis mendapati suspek pernah menipu kenalan lain di laman sosial sebelum ini.
Selain itu, suspek juga dikehendaki polis dalam dua kes di Johor iaitu di Taman Pelangi dan Kulai.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara
itu menghubungi Insp Fakrul Razi Mohd Sayuti di Bahagian Siasatan
Jenayah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222. – BERNAMA