ALOR SETAR - Baru-baru ini kecoh jadinya dunia hiburan hari ini apabila satu laporan dari media
Singapura menyatakan diva popular, Anita Sarawak dilaporkan hilang
setelah tidak menghubungi adik tirinya, Noorkumalasari mahupun ahli
keluarga lain sejak dua bulan lalu.
Laporan tersebut mendedahkan, Noorkumalasari memberitahu kakaknya itu
telah mendiamkan diri sehingga mesej dan panggilan turut tidak
berjawab.
Beberapa rakan selebriti itu yang datang ke kediaman Anita di Las Vegas, Amerika Syarikat juga dikatakan gagal untuk bertemu dengannya.
Namun, menerusi laporan terkini Harian Metro, Noorkumalasari telah pun memaklumkan bahawa dia berasa lega kerana kakaknya itu sudah menghubungi ahli keluarga dua hari lalu.
Anita dikatakan menghubungi adiknya Noor Jumaatun dari Los Angeles,
Amerika Syarikat kelmarin untuk mengucapkan selamat ulang tahun
kelahiran kepadanya.
“Menurut adik saya, Anita sihat dan dalam keadaan baik sahaja.
“Saya tak cakap dia hilang, cuma pelik kenapa dia tak hantar mesej bertanya khabar seperti kebiasaannya.
“Apabila dia senyap tentu saja kami sekeluarga bimbang terutama soal
kesihatannya. Namun, apabila dia menghubungi adik saya kelmarin, barulah
saya lega,” kata Noorkumalasari. -Kedahnews.com