Anwar Kini Hilang Berat 6 Kilogram, Kurus, Najis Berdarah?


KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa tahap kesihatan pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan meliwat kian merundum.

Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul mendakwa, keadaan kesihatan Anwar dalam penjara didapati semakin menurun sejak beberapa bulan lalu.

“Selama beberapa lama beliau dalam penjara, dapat diperhatikan penurunan berat badannya secara mendadak. Kami diberitahu beliau kehilangan berat badan kira-kira enam kilogram yang sungguh membimbangkan sekiranya ini berterusan.

“Terdapat juga simptom kesan darah dalam sampel najis yang memerlukan pemeriksaan perubatan secara lebih dekat,” dakwanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Johari turut mendakwa, tekanan darah Anwar jadi tidak menentu dan bacaannya setinggi 163/108 walaupun beliau sedang menjalani rawatan ubatan.

Dakwanya, pemimpin PKR itu mengalami kesakitan pada bahagian bahu kanan kesan daripada kemalangan kecil yang dialaminya pada tahun lalu.

“Kecederaan ini memerlukan pemeriksaan MRI, rawatan dan berkemungkinan pembedahan untuk pulih sepenuhnya,” dakwanya.

Kata Johari, Anwar memberitahu peguamnya yang beliau akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 2 Jun ini untuk pemeriksaan, permerhatian dan rawatan perubatan.

Bagaimanapun, katanya, PKR kesal kerana kerajaan lewat memenuhi permintaan untuk mendapatkan rawatan perubatan dan dimasukkan ke hospital selama berminggu-minggu.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mesti memberi jaminan Anwar dibenarkan berada di hospital selama mana yang diperlukan untuk penilaian kesihatan dilakukan dan rawatan yang diperlukan diberikan sehingga kpulih.

“Kegagalan memenuhi tuntutan ini merupakan sebuah pencabulan hak asasi untuk Anwar mendapatkan rawatan perubatan yang adil dan saksama,” dakwanya.- Kedahnews.com