BUKAN sehari atau dua, tetapi mencapai seminggu malah berbulan lamanya persiapan yang akan dilakukan untuk mengadakan pertemuan bersama individu kehormat lebih-lebih lagi dalam kalangan yang berpengaruh dan berpangkat tinggi.
Pelbagai persediaan termasuk dalam aspek logistik dan teknikal semuanya diaturkan bagi memastikan pertemuan yang diadakan benar-benar sempurna dan berjalan lancar seperti yang dijadualkan berlangsung.
Malahan, tidak kisah untuk melabur membeli pakaian dan persiapan yang serba-serbi baharu asalkan bersesuaian dengan majlis dan individu yang ingin ditemui. Begitu juga kehadiran yang pastinya akan tiba lebih awal dari masa yang dijanjikan.
Namun, sedar atau tidak bagaimana pula persediaan yang dilakukan untuk bertemu dengan Allah SWT. Cukupkah persediaan yang dibuat untuk berdepan dengan raja kepada segala makhluk itu ketika sentiasa sibuk melakukan urusan lain tanpa mengingati-Nya.
Menurut, Long Kechik berkata, jika Rasulullah SAW diangkat oleh Allah SWT bertemu dengan-Nya dalam peristiwa Israk dan Mikraj, begitu juga dengan umat Islam yang berpeluang berhadapan dengan Allah SWT dengan cara yang tersendiri.
Ini tambahnya, adalah menerusi ibadah solat fardu lima waktu sehari semalam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Solat mikraj bagi orang beriman.”
“Jika kita renungi, konsepnya sama tetapi hanya proses yang berbeza. Nabi Muhammad SAW diangkat bertemu dengan Allah SWT ke Sidratulmuntaha menerusi mikraj, manakala bagi umat Islam pula, solat merupakan hubungan untuk berkomunikasi dan bertemu secara terus bersama Allah SWT,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang juga jurulatih utama di syarikat latihan dan konsultasi, Integrated Focus Training and Motivation bagaimanapun berkata, malangnya perasaan untuk bertemu dengan tuhan yang menciptakan sekalian alam itu tidak wujud dalam hati umat Islam ketika melakukan solat.
Justeru katanya, membuatkan kewajipan utama yang diperintahkan kepada umat Islam itu sering dipandang remeh dan tidak dilakukan dengan sebaik mungkin.
“Jelas sekali, ketika kita mengangkat takbir pertama yang menyebut ‘Allah Maha Besar’, tetapi ungkapan itu tidak dirasakan, malah masih memikirkan pelbagai hal dunia lain yang dianggap lebih besar daripada menghadap Allah SWT.
“Cuba bayangkan pula bagaimana apabila Perdana Menteri atau Agong datang kepada kita dalam satu majlis. Sudah tentu kita akan menunjukkan rasa hormat, bersalam atau sekurang-kurangnya berdiri apabila berhadapan dengan mereka.
“Dalam situasi ini adalah kepada manusia, apatah lagi kepada Allah SWT yang menciptakan manusia. Seharusnya kita membuat persediaan untuk berhadapan dengan-Nya dengan betul-betul tunduk berserta penuh rasa kehambaan” ujarnya.
Istimewa berbanding ibadah lain, Long berkata, solat lima waktu sehari semalam merupakan ibadah pertama yang diperintahkan dan akan dihisap oleh Allah SWT kepada hambanya di hari akhirat.
“Istimewanya solat ini sehingga Allah SWT menjemput Rasulullah SAW bertemu secara terus dengannya untuk menyampaikan perintah tersebut berbanding ibadah lain yang disampaikan menerusi wahyu.
“Ini kerana solat diibaratkan sebagai tiang agama. Jika kita meninggalkan solat, maka meruntuhkan agama. Ini juga kerana di dalam solat meliputi kesemua perintah dalam rukun Islam yang lain iaitu syahadah, puasa, zakat dan haji.
“Malah, segala amalan yang dilakukan akan menjadi sia-sia jika tanpa solat,” katanya.
Sumber: Utusan