Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 2
Pulau Pinang menahan tiga nelayan kerana melanggar syarat memukat ikan
di perairan Muka Head, Teluk Bahang dekat sini, Jumaat lepas.
Ketua Penguatkuasanya Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu
Hassan berkata tekong dan dua awak-awak rakyat Thailand yang menaiki bot
Kelas C terbabit ditahan di 10.6 batu nautika perairan itu pukul 11.20
malam.
“Bot milik pengusaha tempatan yang berpangkalan di jeti Kuala Kedah
itu didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang 15 batu nautika
dari kawasan daratan berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari
ini.
Katanya nelayan berumur antara 30 dan 36 tahun serta bot terbabit
dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Batu Maung untuk siasatan
lanjut manakala 800 kilogram ikan pelbagai jenis turut disita. – BERNAMA