Arahan Kad "Top Up" Pada Harga Asal Ditangguh - Ketua Pengarah Kastam

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menangguhkan arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal perkhidmatan kad prabayar yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Mei.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata ia selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa kajian mengenai layanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan kad prabayar masih dijalankan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Maka, arahan Ketua Pengarah Kastam bertarikh 28 April kepada syarikat telekomunikasi mengenai layanan CBP ke atas perkhidmatan kad prabayar yang akan berkuat kuasa pada 1 Mei, adalah ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Khazali dalam satu sidang media mengumumkan bahawa mulai 1 Mei ini, harga kad prabayar telefon perlu kembali kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April, yang mana jika kad prabayar itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei.

Menurutnya, beliau sendiri sudah mengarahkan kesemua empat syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal berdasarkan kepada konsep ‘tax inclusive’ berkuat kuasa 1 Mei dalam satu surat pada 28 April.

Semalam, Pengerusi MCMC Datuk Seri Dr Halim Shafie dalam satu kenyataan selepas pengumuman Khazali itu, pula berkata isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan dikenakan CBP.

Isian semula RM10 sebagai contoh akan dijual pada harga RM10.60 termasuk GST enam peratus.

Menurut Halim, agak mustahil untuk pembekal perkhidmatan melaksanakan perubahan dengan kembali kepada kadar pra-CBP bermula 1 Mei seperti yang diminta kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem. – BERNAMA