AWAS! Peniaga Online "Kemut" RM70 Boleh Didenda RM50,000!

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melancarkan program Online Networking Entrepreneurs (SSM-ONE) yang diwujudkan khas bagi mengumpulkan pengusaha-pengusaha perniagaan atas talian (online) di dalam satu komuniti yang disokong penuh oleh SSM.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Zahrah Abd Wahab Fenner (tengah) merasmikan program SSM-ONE di Menara SSM, KL Sentral, pada Selasa. 
“Objektif utama SSM-ONE adalah memberi penerangan kepada golongan usahawan tentang kepentingan mendaftarkan perniagaan dan menubuhkan syarikat.

“Ia juga bagi menggalakkan orang ramai menceburi bidang perniagaan dan meningkatkan pendaftaran syarikat,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif SSM Zahrah Abd Wahab Fenner yang merasmikan program tersebut di Menara SSM, KL Sentral hari ini.

Sehubungan itu program pertama SSM-ONE 2015 akan diadakan pada 5 dan 6 Jun ini, berupa satu program keusahawan khas yang dibuka kepada semua peniaga online seluruh negara dan boleh diikuti secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Zahrah Abd Wahab Fenner (tengah) merasmikan program SSM-ONE di Menara SSM, KL Sentral
Program yang bakal berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara ini turut menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada peserta antaranya pemberian 2,000 domain dan website builder percuma, dana pembiayaan perniagaan dan geran keusahawanan.

Menurut Zahrah setakat ini lebih 4,000 peniaga online sudah pun mendaftar dengan SSM tetapi masih ramai belum berbuat demikian. 

Ini satu tindakan yang kurang bijak kerana sekiranya didapati bersalah mereka berdepan tindakan undang-undang dan boleh didenda sehingga RM50,000 sedangkan pendaftaran SSM hanya RM70.00 sahaja.

Program SSM-ONE turut mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandangkan perniagaan online banyak diusahakan oleh golongan wanita yang merupakan stakeholder di bawah kementerian ini.

SSM percaya kolaborasi dengan KPWKM dapat menarik lebih banyak penyertaan daripada kaum hawa untuk mendapatkan informasi tepat berkaitan perniagaan yang mana ia perlu didaftarkan dengan SSM walaupun hanya dijalankan secara maya.

Peniaga online yang berminat untuk berada dalam komuniti SSM-ONE boleh melayari laman 1-ssm.com untuk maklumat lanjut.

Sumber: Mynewshub.cc