AWAS: Perang Moden Psikologi Barat

ENTAH beberapa kali gencatan senjata telah diadakan tanpa hasil memuaskan. Tuntutan Hamas agar sekatan yang telah berlangsung sejak 2006 dibuka semula diabaikan oleh Israel. Hal ini menyebabkan pihak Hamas nekad untuk meneruskan perjuangannya dalam membebaskan bumi Palestin.

Lebih 2,000 nyawa telah terkorban, dianggarkan 400 di antaranya adalah golongan kanak-kanak, lebih 10,000 tercedera, 100,000 warga Gaza terpaksa menjadi pelarian. Bahkan, ribuan rumah serta ratusan bangunan seperti sekolah, masjid, pasar dan tidak terkecuali hospital telah menjadi sasaran tentera rejim zionis Israel.

Justeru, tidaklah hairan jika roket-roket milik Hamas melayang hingga ke pusat kota Tel Aviv kerana Israel telah mengantisipasinya dengan Iron Dome. Iron Dome adalah sistem penangkal roket yang dibiayai pemerintah Amerika Syarikat (AS) sebagai sekutu terdekat Israel.

“Israel tidak akan aman selagi rakyat Palestin juga dibuat tidak aman,” demikian pernyataan salah seorang jurucakap pejabat Hamas, memperingatkan.

Namun yang paling menyedihkan, tiada sesebuah negara Islam (Asia Barat) yang secara nyata membantu Hamas (Palestin). Persaudaraan dan ikatan sesama Muslim yang merupakan kekuatan Islam tampak jelas telah hilang menguap entah ke mana.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidaklah sempurna iman seseorang daripada kamu, sehingga dia mencintai saudaranya (sesama Islam) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." (riwayat Bukhari)
Nasib umat Islam ketika ini memang benar-benar berada di titik terendah. Apa pun yang dilakukan umat Islam selalu salah. Islam telah menjadi buah mulut kaum kufar. Nyata benar bahawa Islam telah kehilangan taringnya.

Sejak jatuhnya kekhalifan Turki Othmaniah pada 1924 hingga saat ini tidak ada sebuah negara Islam yang mempunyai pengaruh dan didengar dunia antarabangsa. Lebih parah lagi, malah dilabel sebagai pengganas yang kuat melekat di tubuh Islam.

Umat Islam telah dipecah belah dan diadu domba dengan pelbagai cara. Manakala, generasi muda dibuat tidak percaya diri akan keislamannya, mereka diiringi nikmat duniawi. 

Demokrasi dan toleransi sengaja diangkat dan diperbesar-besarkan untuk menunjukkan persatuan dan persaudaraan Islam. Nilai-nilai Islam seperti jihad, jilbab dan juga ciri-ciri Islam lain sebagai sunah Nabi diangkat sedemikian rupa agar umat Islam menjadi alergi dan rela meninggalkannya.

Kemudian lahirlah pemikiran-pemikiran aneh dan ajaib. Sekulerisme, pluralisme, liberalisme dan macam-macam lagi. Ironisnya pengikut fahaman ini adalah kaum intelektual Muslim. Walaupun tujuannya untuk menghilangkan label pengganas yang sengaja diciptakan musuh-musuh Islam.

Pernyataan mantan presiden AS George W. Bush: Either you are with us or you with the terrorists. Tidak lama setelah tragedi 9/11 memperjelas sikap permusuhan Barat terhadap Islam (Islamophobia) semakin menjadi-jadi.

Keyakinan syahid

Perang psikologi (psywar) yang dilontarkan Barat ini, nyata jauh lebih efektif daripada perang fizikal yang terbukti memakan biaya dan pengorbanan yang sangat mahal. Apatah lagi mereka mengetahui bahawa para mujahid yang gagah berani melawan kekuasaan mereka tidak pernah mengenal rasa takut, kerana keyakinan syahid, masuk syurga, adalah balasannya.


Al-Qaeda yang dicurigai merupakan bentukan AS, disusuli ISIS (Islamic State Irak Syria) yang baru sahaja lahir ini disiapkan untuk menampung semangat jihad pemuda Islam yang sedang menggebu-gebu. Untuk mengetahui, ISIS adalah organisasi yang muncul secara tiba-tiba, dengan kekuatan besar dan persenjataan lengkap.

ISIS yang lahir di Syria, awalnya muncul memihak dan membantu umat Islam Sunni yang dibantai Syiah pimpinan presiden Bashar Assad. Sepintas memang terlihat keperwiraannya. Betapa tidak, tiga tahun sudah Sunni Iraq diperang habis-habisan tanpa satu pihak pun yang mahu membantu.

Tercatat 170,000 orang terkorban termasuk kanak-kanak dan 2 juta lebih penduduk terpaksa meninggalkan tanah air mereka yang tercinta, menjalani hidup sebagai pelarian di negara-negara jiran.

Justeru, tidak hairanlah jika kedatangan tentera ISIS yang menggunakan bendera bertulis, “La illaha illa Allah, Muhammad Rasulullah” dalam huruf hijai’yah ini (meskipun dengan susunan yang agak ganjil) langsung menarik banyak simpati dan pengikutnya.

Tambahan pula, diketahui bahawa di akhir zaman nanti fenomena seperti ini memang akan datang. Imam Mahdi, khalifah Islam yang gagah berani lagi santun sebagaimana sifat Rasulullah SAW akan datang menyelamatkan dan mengharumkan nama Islam yang sedang hancur.

Abu Bakar Baghdadi
Namun, benarkah Abu Bakar Baghdadi, sang pemimpin ISIS yang mendakwa negaranya sebagai kekhalifahan Islam itu mencerminkan dirinya seperti Rasulullah SAW? Yang bahkan ketika berperang berlaku santun, menghormati perempuan, kanak-kanak di lingkungan sekitar kaum yang diperanginya?
“Andai kata dunia tinggal sehari, sungguh Allah akan panjangkan hari itu sehingga diutus padanya seorang lelaki daripada ahli Baitku namanya serupa namaku dan nama ayahnya serupa nama ayahku. Ia akan penuhi bumi dengan kejujuran dan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan penganiayaan.” (Riwayat Abu Daud)
Oleh itu, setiap daripada umat Islam haruslah berwaspada dengan ideologi yang mencabar ini. Di samping itu, menjadi kewajipan umat Islam sejagat mengawal dan memelihara bumi Palestin sebagai benteng terakhir kita seperti dijanjikan Allah SWT akan memenangkan ia jika kita benar-benar beriman dan bertakwa. 

Para cendekiawan berkata: “Siapa yang mengusai bumi Palestin, dia menguasai dunia.”

Sumber: Utusan