KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai Kanan Polis (Cawangan Pegawai
Diwartakan) mendesak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membuat
permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh warga Polis Diraja
Malaysia (PDRM) kerana menghina pasukan itu.
Pengerusinya, Datuk Shah Gzali Shahadad berkata, tindakan Mohamed
Azmin mencaci Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bererti
menghina seluruh institusi PDRM yang menjalankan tanggungjawab kepada
rakyat tanpa berkiblatkan mana-mana fahaman politik, bangsa atau agama
seperti didakwa Mohamed Azmin.
“Tiga laporan polis telah dibuat ke atas tindakan Mohamed Azmin
kerana menggelar Ketua Polis Negara sebagai Bacul dan Pencacai. Beberapa
media `online’ turut melaporkan Mohamed Azmin menggelar Ketua Polis
Negara dengan panggilan `Barua UMNO’ dalam satu ceramah di Permatang
Pauh baru-baru ini.
“Seluruh warga PDRM amat terguris dengan kenyataan itu kerana Ketua
Polis Negara adalah sebuah institusi dan penghinaan sebegini beerti
seluruh institusi PDRM adalah barua politik. Penghinaan tersebut memberi
kesan mendalam ke atas warga PDRM,” tegasnya dalam satu kenyataan media
hari ini.
Shah Gzali berkata, Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar yang
berpendidikan dan berjawatan tinggi, maka tidak warga menggunakan
perkataan yang jelek dan kesat ke atas sesama manusia.
Kata beliau, ceramah politik tidak patut digunakan untuk tujuan
menghasut dan menghina apatah lagi menjadi platform untuk membangkitkan
kebencian masyarakat untuk membenci dan menentang polis.
Tambah beliau, PDRM tidak pernah mencampuri urusan polis dan tidak
sesekali berkiblatkan mana-mana parti politik dan hal itu jelas dengan
perkhidmatan secara profesional yang diberikan di negeri-negeri yang
ditadbir parti pembangkang.
“Seluruh warga PDRM berharap Mohamed Azmin lebih berhemah, bersopan
dan bersusila dalam berceramah politik kerana bahasa melambangkan
bangsa.
“Caci mencaci dan menjatuhkan maruah sesama insan adalah dosa di sisi
agama. Tindakan menggunakan bahasa kesat melambangkan perbuatan
terdesak hingga terpaksa bertindak secara `hitting below the belt’,”
katanya.