KUALA LUMPUR – DAP meminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
mengemukakan dalil Al-Quran yang menyebut umat Islam mesti marah
terhadap DAP kerana membantah pelaksanaan hudud di Kelantan.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, DAP yang ditubuhkan pada
tahun 1966 tidak menyedari bahawa termaktub di dalam ajaran Islam bahawa
kemarahan terhadap DAP adalah diizinkan oleh Allah S.W.T.
“Saya hanya tahu bahawa Islam adalah agama ramah, bukan agama marah.
Saya memohon Abdul Hadi supaya mengemukakan dalil yang manakah dijadikan
hujah bahawa umat Islam mesti sentiasa marah terhadap mereka yang tidak
percaya mahupun mereka yang tidak sependapat,” katanya dalam satu
kenyataan media hari ini.
Guan Eng berkata, Abdul Hadi tidak patut menyuruh umat Islam memarahi
DAP hanya kerana ikhlas dan serius membantah undang-undang hudud kerana
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Presiden PAS sebenarnya membuat kenyataan itu demi memenuhi
kepentingan politik sempit beliau dengan menggambarkan DAP sebagai
kendala terbesar pelaksanaan hudud.
Beliau turut mengecam pendedahan Abdul Hadi tentang Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan
rancangan kerajaan perpaduan pada tahun 2009.
“Ini satu pendedahan yang mengejutkan kerana pemimpin DAP langsung
tidak pernah diberitahu tentang kerajaan perpaduan pada tahun 2009,”
katanya.
Guan Eng mengingatkan PAS akan mendapat balasan daripada pengundi
pembangkang yang tidak senang dengan tindakan Abdul Hadi dalam pilihan
raya umum yang akan datang.