Bayaran BR1M Peringkat Kedua Diberi Esok

ALOR SETAR - Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan bahawa pembayaran wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) peringkat kedua yang melibatkan 4.65 juta penerima akan bermula esok 28 Mei 2015.

Selaras dengan pengumuman Bajet 2015, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan memutuskan untuk mengagihkan pemberian BR1M kepada 3 peringkat.

“Pemberian peringkat kedua ini turut melibatkan tuntutan rayuan yang diluluskan kepada 141,670 penerima,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau lagi, pembayaran BR1M peringkat kedua ini akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.

“Pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing, manakala bagi mereka yang tiada nombor akaun surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan BSN, Maybank, CIMB, dan Public Bank berhampiran,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Khairat Kematian (SKK) dengan bantuan sebanyak RM1000 untuk membantu waris penerima BR1M dibawah kategori isi rumah dan warga emas yang telah meninggal dunia dan sebanyak 16000 tuntutan telah diluluskan.

“Waris penerima BR1M yang telah dinamakan di dalam borang permohonan boleh membuat tuntutan SKK di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional dengan mengemukakan dokumen sijil kematian serta kad pengenalan diri waris,” tambahnya dalam kenyataan itu. -Kedahnews.com