Bayi Usia 5 Bulan Digigit, Dicakar Ketika Dalam Jagaan Pengasuh


KES yang melibatkan penderaan bayi semasa dalam jagaan pengasuh boleh dikatakan sudah sangat kerap berlaku. Hingga adakalanya, ia mendatangkan fobia buat ramai ibu bapa.

Tapi kali ini, lain pula ceritanya yang berlaku di sebuah taska di Pandan Indah, Ampang.

Seorang ibu terkejut apabila melihat keadaan anaknya berusia lima bulan penuh dengan kesan cakaran dan gigitan di muka, tangan dan telinga semasa dalam jagaan pengasuh.

Bayi malang yang dikenali sebagai Nur Ameena Nabila dikatakan digigit dan dicakar oleh kanak-kanak lain semasa pengasuhnya sedang membancuh susu.

Difahamkan, ibu bapa bayi berkenaan hanya mengetahui perkara ini setelah dimaklumkan oleh pengasuh yang menghubunginya untuk mengambil anaknya.

Berikutan itu, bayi ini dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

Memetik laporan Berita Harian, ayah bayi iaitu Ahmad Mat Seman berkata, kejadian diketahui selepas pengasuh menghubungi isterinya pada jam 1.45 petang.

“Sebaik tiba, saya terkejut melihat keadaan anak yang penuh luka kesan gigitan dan calar.

“Saya kemudian meminta penjelasan daripada wanita itu dan dia hanya memberitahu anak saya digigit dan dicakar kanak-kanak lain ketika dia sedang membancuh susu,” katanya.

Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, ibu bapa bayi ini membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Hm, bagi kami ini bukan soal bancuh susu atau apa.. pusat asuhan seharusnya memastikan kanak-kanak dalam jagaan mereka sentiasa berada dalam radar pengawasan mereka agar terhindar daripada sebarang perkara tak diingini.

Lagi pula, pengasuh seharusnya memastikan kuku bayi dan kanak-kanak dipotong pendek agar tak mencederakan kanak-kanak lain.































Sumber: Mynewshub.cc