Anida melawat anaknya, Muhammad Syahmi Afiq di unit rawatan rapi HSB. |
KULIM - Seorang bayi lelaki, Muhammad Syahmi Afiq Abu Bakar berusia enam
bulan di sini, mengidap sakit jantung berlubang dan memerlukan RM60,000
untuk membiayai kos pembedahan.
Ibu bayi tersebut, Anida Azaua Harun, 36, berkata, anak keduanya itu
kini ditahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar berikutan
perlu mendapat rawatan rapi.
"Sejak Muhammad Syahmi Afiq lahir, doktor tidak benarkan saya bawa pulang ke rumah kerana bimbang tahap kesihatannya menurun.
“Setelah tiga kali pemeriksaan dijalankan doktor di Pulau Pinang
mendapati lubang di jantung anak semakin membesar dan bengkak serta
memerlukan pembedahan segera,” katanya.
Anida yang hanya bekerja kilang berkata, setiap minggu dia dan suami,
Abu Bakar Mansor, 30, berulang-alik dari rumahnya di Taman Kobis, Lunas
ke HSB untuk melawat anaknya.
“Setiap Sabtu saya dan suami akan melawat Muhammad Syahmi Afiq di wad. Kos untuk ke hospital juga tinggi.
"Disebabkan itu, saya terpaksa bekerja lebih masa untuk mengumpul dana bagi menampung kos susulan dan pembedahan," katanya.
Katanya, dia amat berharap anaknya segera sihat dan dapat membawa pulang ke rumah tinggal bersamanya.
“Saya sedih kerana tidak berpeluang untuk menyusukan sendiri Muhammad
Syahmi Afiq. Dia hanya diberi susu yang disediakan pihak hospital
melalui saluran tiub,” katanya.
Bagi Abu Bakar, dia hanya bekerja sebagai pembawa jengkaut dan
pendapatan yang diperoleh tidak menentu menyukarkannya untuk menanggung
kos perubatan anaknya.
"Saya berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan untuk membantu kos pembedahan anak saya," katanya kepada Sinar Harian.
Orang ramai yang yang ingin menyumbangkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun RHB Anida Azaua Harun :10203200327446.
Sumber: Sinar Harian