Dr Tajul Ariff menunjukkan surat arahan Mahkamah Perusahaan berhubung kes terbabit. |
ALOR SETAR - Bekas Timbalan Dekan Kuliyyah Perubatan dan Sains
Kesihatan, Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Dr Tajul Ariff Abdul Shukor
mohon Kuin segera melunaskan gaji tertunggak, selepas Mahkamah
Perusahaan Kedah mengeluarkan arahan pada 17 Mac lalu.
Tajul Ariff memfailkan tuntutan itu Januari tahun lalu berikutan tidak
berpuas hati terhadap pampasan yang ditawarkan Kuin, di mana keputusan
mahkamah menetapkan sejumlah bayaran perlu dibuat dalam tempoh enam
minggu, yang berakhir 27 April lalu.
“Nilai pampasan terlalu rendah, menyebabkan saya failkan kes ini pada
10 Januari 2014. Pada hari perbicaraan, Kuin melalui peguamnya tawarkan
penyelesaian di luar mahkamah, dan dipersetujui kedua pihak, namun
sehingga kini bayaran belum diterima,” katanya.
Tajul Ariff yang juga bekas Pensyarah Perubatan Kuin, diberhentikan
kerja secara konstruktif oleh Kuin pada 21 Julai 2013, di mana kontrak
perkhidmatannya berakhir pada Oktober 2014.
“Saya tidak diberi gaji sejak April 2013 hingga ke tarikh pemecatan.
Saya mohon agar bayaran tunggakan dipercepatkan kerana tidak mempunyai
sumber pendapatan tetap selepas ditamatkan perkhidmatan,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, dia dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Kuin
bahawa pihak universiti meminta penangguhan bayaran sehingga Jun 2015,
dengan memberi alasan yang tidak logik," katanya.
Menurutnya, dia sedikit kesal apabila Kuin tidak menghargai jasa dan
sumbangan pensyarah bawahnya, kerana mereka juga diibaratkan seperti
guru, umpama lilin yang membakar diri.
Rektor Kuin, Profesor Datuk Mohd Yusof Kasim ketika dihubungi berkata,
pihaknya mungkin terlepas pandang kes berkenaan, namun tidak pernah
mengabaikan sebarang arahan mahkamah berhubung mana-mana kes membabitkan
universiti itu.
“Kita akan akur arahan Mahkamah Perusahaan terbabit, saya belum terima
surat berkenaan menyebabkan tindakan belum diambil. Mungkin peguam yang
wakili Kuin belum menghantarnya atau masih dalam proses oleh Penasihat
Undang-Undang Kuin,” katanya.
Menurutnya, tindakan akan dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan.
"Sebelum ini, semua kes mahkamah libatkan Kuin berjaya diselesaikan," katanya.