Bertumbuk? Akar Umbi PAS - PKR Semakin Tegang Di Permatang Pauh

Demonstrasi Pemuda PAS, semalam.
PERMATANG PAUH - Suasana Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang kian hangat semalam dicemari insiden tidak dijangka apabila terdapat laporan yang mendakwa sekumpulan anak muda PKR telah bergaduh dengan sekumpulan penyokong PAS di Permatang Pasir.

Dalam kejadian itu, media di sini difahamkan bahawa pergaduhan tersebut adalah gara-gara protes akar umbi PAS di Permatang Pauh terhadap hinaan PKR terhadap presiden mereka dan pendirian PKR yang menolak hudud.

Mungkin tidak dapat menerima kenyataan tentang kebangkitan akar umbi PAS di parlimen itu untuk mempertahan hudud dan maruah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sekumpulan penyokong PKR marah pada kumpulan PAS yang sedang memasang sepanduk menyokong hudud dan mempertikai pihak yang menentang hukum Allah itu.

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku sekitar jam 2 pagi itu, 5 orang pemuda PAS sedang leka mengedar risalah dan banner protes mereka, sebelum disedari oleh kira-kira 10 orang penyokong PKR yang meluru kepada kumpulan PAS itu, marah-marah.

Antara sepanduk yang dipasang oleh 5 orang Pemuda PAS terbabit adalah berkenaan amanat arwah bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk UstazFadzil Noor yang mengharamkan semua ahli PAS untuk tidak menyokong pihak yang menentang hudud.

Mungkin tidak dapat mengawal emosi, pertikaman lidah berlaku dan kemudian membawa kepada berlakunya pergelutan antara dua kumpulan berkenaan.

Difahamkan bahawa akar umbi PAS di sini bertegas enggan menggadai maruah dengan memberi undi sokongan mereka kepada PKR yang menolak hudud dan enggan menyokong Wan Azizah setelah PKR tidak memohon maaf pada PAS.

Semalam, lebih 100 orang Pemuda PAS telah mengejutkan PKR dan DAP dengan melakukan demonstrasi boikot PRK Permatang Pauh dan bertindak mengutuk dua parti tersebut secara terbuka selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Batu, di sini.

Tindakan berkenaan menjelaskan bahawa akar umbi PAS di sini tidak peduli dengan ugutan "tindakan disiplin" yang dikeluarkan Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu, yang mendakwa pihaknya akan mengambil tindakan kepada mereka yang enggan menyokong Wan Azizah di PRK Permatang Pauh kali ini. -Kedahnews.com