BUENOS AIRES - Bidan dan aktivis Argentina mengadakan bantahan luar
biasa semalam, dengan berpiket separuh bogel di hadapan Kementerian
Kesihatan negara itu bagi menuntut hak untuk bersalin di rumah.
Kira-kira 20 penunjuk perasaan ‘gigih’ mendedahkan dada mereka yang
dicat dengan warna terang di sebatang jalan yang sibuk di bandaraya
tersebut, sambil memegang papan tanda menggesa menteri kesihatan, Daniel
Gollan melindungi “hak untuk memilih di mana dan bagaimana mahu
melahirkan bayi”.
Bidan-bidan yang menyertai protes itu berkata, mereka telah
dikecualikan daripada perbincangan mengenai peraturan-peraturan baru
bagi profesion mereka, sekaligus mencetuskan kerisauan jika
undang-undang baru tersebut akan menghadkan aktiviti mereka dan
mengharamkan kelahiran di rumah.
Peserta-peserta demonstrasi separuh bogel itu turut menconteng mesej-mesej tertentu pada bahagian belakang tubuh mereka.
Sambil mendukung bayinya yang berusia empat bulan, Eugenia Gimenez,
29, mundar-mandir di kawasan piket dengan tubuhnya ditulis “Saya
melahirkan bayi ini di rumah”.
Menurut seorang doktor Ana Paula Fagioli, beliau menyokong penuh
protes tersebut kerana beliau menganggap hospital “menjadi dewan
penyeksaan untuk wanita hamil yang menghabiskan masa berjam-jam
disambungkan kepada tiub dan di bawah pengaruh ubat untuk mendorong
kelahiran”.
Kementerian Kesihatan Argentina berkata,mereka sedang berusaha untuk
menggubal peraturan yang akan memastikan prosedur kelahiran di rumah
selamat untuk wanita dan bayi mereka. – AFP