Setiap penjuru bandar dan kawasan perumahan ada sahaja gerai menjual buah mangga. Buah berwarna oren di penjuru kanan adalah mangga Alphonso. - Foto BERNAMA |
Koresponden Bernama di New Delhi, M.Santhiran berkongsi diari
kehidupannya di ibu negara India yang mengandungi banyak perbezaan
sosial yang unik.
NEW DELHI – Sekarang adalah musim panas di India dengan suhu sekitar
42 dan 45 darjah Celsius dan keadaan ini membuatkan ramai yang
berpusu-pusu ke tempat peranginan tanah tinggi atau melancong luar
negara.
Di India, musim panas juga menandakan bermulanya musim buah-buahan.
Di setiap penjuru bandar dan kawasan perumahan ada sahaja gerai
menjual buah-buahan meskipun cuaca panas teruk yang membuatkan ramai
yang lebih suka duduk di dalam rumah.
Buah-buahan yang banyak ini juga memberi pelbagai pilihan kepada
pembeli sama ada membeli dalam bentuk asalnya atau yang sudah dibuat
manisan atau ‘cocktail’ mahu pun jus untuk menghilangkan rasa dahaga.
Jika di Malaysia durian adalah raja buah, di India pula, penghormatan ini diberi kepada mangga.
Bagaimanapun mangga di India jauh berbeza daripada mangga di Malaysia
bukan sahaja daripada segi bentuk, saiz dan warna tetapi juga rasa.
RAJA SEGALA RAJA
Saya mendapat tahu “Alphonso” dan “Bangnapali” adalah raja segala mangga di India.
Mangga “Alphonso” yang dikenali juga sebagai “Hapoo” dalam kalangan
orang tempatan adalah jenis mangga paling mahal di India. Maharashtra,
Gujarat dan Karnataka adalah pengeluar utama mangga jenis ini.
Warna kulit mangga ini oren cerah dan isinya tanpa fiber. Masyarakat
tempatan gemarkan rasa isi mangga yang begitu lembut seperti krim.
Sementara itu, mangga “Banganapalli” yang berkulit warna kuning,
isinya juga manis dan tanpa fiber. Mangga ini yang paling popular antara
mangga yang datang dari Andhra Pradesh dan beberapa negeri lain di
Selatan India.
Satu lagi mangga di India yang dipanggil “Dasehri” rasanya manis
seperti sirap pekat. Pengeluar terbesar mangga ini ialah Uttar Pradesh.
CARA BETUL MEMILIH MANGGA
Memandangkan begitu banyak bekalan mangga, seseorang itu perlu tahu cara yang betul untuk memilih mangga.
Seperti di Malaysia, sekiranya anda “hantu durian”, anda perlu tahu
cara untuk memilih durian. Ini kerana durian dari selatan tanah air
berbeza dengan durian dari utara sama ada rasa, bentuk dan saiz serta
harga.
Di Malaysia, Musang King, durian tembaga dan D-24 adalah antara
durian yang paling popular dalam kalangan “hantu durian” sehinggakan
mereka sanggup berbelanja lebih untuk menikmati buah itu.
Sama juga dengan mangga di sini. Apabila tiba musim buah-buahan yang
bermula pada awal Mac dan berakhir Julai, terdapat lebih 200 jenis
mangga.
Peniaga di sebuah pasar mengajar saya beberapa petua untuk memilih
mangga dan yang paling utama ialah jangan membeli pada awal atau
penghujung musim buah-buahan.
Saya dapati harga pun berbeza dari satu tempat kepada satu tempat yang lain di bandar yang sama.
Masyarakat di sini lazimnya akan membandingkan dahulu harga buah itu sebelum membeli.
Seperti di Malaysia, kos buah yang sama adalah 30 hingga 40 peratus
lebih tinggi jika dijual di kompleks membeli-belah yang ternama.
Memandangkan peniaga tidak meletakkan tanda harga, sukar juga untuk
saya tawar-menawar, tambahan pula bahasa Hindi saya pun lemah. Akhirnya
saya sering membayar harga yang lebih tinggi berbanding penduduk
tempatan.
Mangga jenis biasa berharga kira-kira 100 hingga 150 rupee sekilo
(RM6.00 hingga RM8.00) dan saya membelinya untuk diberikan kepada jiran
dekat rumah saya serta kawan-kawan yang lain sesuai dengan semangat
kejiranan dan kemesraan rakyat Malaysia.
Masyarakat tempatan tidak berapa membeli buah mangga ini kerana
menjangkakan harganya akan turun serendah 50 hingga 70 rupee (RM3.00
hingga RM3.50) dalam masa bebeapa minggu sebelum penghujung musim
buah-buahan.
Saya masih ingat di Malaysia, saya pernah membeli mangga yang kurang bermutu dengan harga antara RM14 dan RM16 sekilo.
MANGGA INDIA DIEKSPORT KE ASIA BARAT DAN EROPAH
Mangga India sememangnya popular sehingga ke Asia Barat serta Eropah dan United Kingdom kekal sebagai pengimport utama buah ini.
Untuk rekod, mangga dari India diharamkan masuk ke Eropah hampir
setahun lamanya selepas lalat buah dijumpai dalam pengiriman mangga
tetapi pengharaman itu ditarik balik baru-baru ini.
Sudah tentunya langkah menarik balik pengharaman ini melegakan
penanam mangga Alphonso di daerah Konkan di Maharastra. Hasil
pengeluaran mangga mereka terjejas akibat cuaca buruk pada bulan Mac.
Bagaimanapun, pengguna tempatan terpaksa menanggung kesan akibat bekalan yang berkurangan dan harga mangga yang tinggi.
Penjual buah-buahan dilaporkan pada tahun lepas menjual sedozen
mangga “Alphonso” yang sederhana saiznya dengan harga kira-kira 500
rupee (kira-kira RM30) sekilo. Kini harga sekilo sekitar 700 rupee
(RM42) hingga 800 rupee (RM48).
Mereka berkata pada permulaan musim buah-buahan pertengahan Mac ini,
mangga yang sama dijual pada harga 1,200 rupee (RM65), satu jumlah yang
besar untuk mereka yang berpendapatan kecil.
Akhir kata, sekiranya anda merancang melancong ke mana-mana bandar di
India dalam tempoh dua bulan akan datang, pastikan anda tidak
ketinggalan daripada membeli dan menikmati keenakan raja buah India ini.
– BERNAMA