Ahmad Absyar ditemani ibunya melawat Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan kehadirannya diraikan Rosdi sempena balai terbuka, kelmarin. |
Noramalia Hussain, 41, berkata, anaknya, Ahmad Absyar Muzammil Abd
Hamid, 5, sangat sukakan dan mengagumi anggota selain sering meminta
untuk dibawa ke balai bomba.
"Bagi memenuhi keinginan Ahmad Absyar, saya bertemu dengan pihak pengurusan balai bomba agar hasratnya mampu dilaksanakan.
"Alhamdulillah, pegawai dan anggota bomba sudi menyediakan ruang buat
anak saya meraikan majlis ulang tahun pada 23 Mei ini," katanya yang
ditemui bersama anaknya ketika mengunjungi balai terbuka di Balai Bomba
dan Penyelamat Sungai Petani, kelmarin.
Menurutnya, biarpun tidak seperti kanak-kanak lain tetapi, Ahmad Absyar
petah berkata-kata dan bijak selain aktif serta mempunyai banyak
impian.
Apabila didekati Sinar Harian dan ditanya, adakah Ahmad Absyar meminati
bomba dan mahu menjadi anggota bomba suatu hari nanti, dia mengangguk
gembira.
Ahmad Absyar juga dilihat teruja apabila beralih dari satu jentera ke
jentera lain untuk melihat kenderaan milik bomba di balai berkenaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan
Penguasa Bomba Rosdi Ismail berkata, buat julung-julung kalinya, balai
bombanya itu bakal meraikan seorang kanak-kanak menghidap sakit saraf
yang ingin menyambut hari lahir di situ.
“Semua pegawai dan anggota yang bertugas pada hari berkenaan juga akan
meraikan beliau yang dianggap sebagai khidmat sosial bomba kepada
masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berbeza katanya, sempena balai terbuka, pelbagai
aktiviti diadakan termasuk pameran peralatan kebombaan, melawat jentera
bomba, penerangan dan maklumat kebombaan serta ramah mesra bersama
anggota.
“Kita turut menerima kunjungan daripada beberapa buah tadika, kadet
bomba sekolah, agensi dan jabatan kerajaan serta orang ramai,” katanya.
Sumber: Sinar Harian