Semalam, majlis pernikahan aktor kacak, Fahrin Ahmad dengan Ketua Pramugari Emirates Airlines, Elena Hani Eleas mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Tambahan pula, buat pertama kali wajah gadis pilihan aktor kacak ini didedahkan buat tontonan umum.
Pastinya, peminat hiburan tempatan mula tertanya-tanya tentang kisah
cinta pasangan ini yang diam-diam menyimpul kasih hingga tidak mampu
dihidu oleh sesiapa termasuk pihak media.
Berkongsi cerita tentang perkenalan mereka, Fahrin memberitahu mereka
mengenali ketika masing-masing menuntut pengajian di Matrikulasi
Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor dan
seterusnya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di universiti
yang sama.
Tetapi peliknya, mereka berdua tidak pernah berkawan mahupun bertegur sapa meskipun tahu mereka menuntut di fakulti yang sama.
Bagaimanapun, semuanya berubah pada bulan Ramadhan tahun lalu apabila
mereka dipertemukan menerusi seorang teman selepas 17 tahun.
“Saya menganggap pertemuan dengan dia tidak dirancang. Hanya menerusi
satu kiriman emel dengan bertanyakan khabar semata-mata dan semuanya
berjalan dengan baik daripada situ.
“Tidak keterlaluan saya katakan bahawa saya menganggap ketika itu
adalah rezeki dan berkat bulan Ramadan kerana perkenalan kami bermula
pada sekitar Ogos tahun lalu,” kata Fahrin kepada sebuah portal, The Rakyat Post.
Dalam pada itu, Fahrin mengakui terpikat pada personaliti Elena yang disifatkan sebagai seorang yang bijak dan matang.
Elena Hani adalah gadis kelahiran Johor yang kini menetap di Dubai sejak lapan tahun lalu.
Isteri Fahrin juga merupakan bekas peguam yang pernah berkhidmat
selama lima tahun di sebuah firma guaman yang terletak di Kuala Lumpur
suatu ketika dahulu sebelum memilih untuk bergelar pramugari.
Turut difahamkan bahawa pasangan itu telah memilih untuk berbulan madu di Venice dan Monte Carlo tidak lama lagi. -Kedahnews.com