ALOR SETAR - Mungkin benar dakwaan bahawa dunia kini berada di hujung-hujungnya nyawa apabila cerita berunsur fitnah semakin menjadi-jadi dan makin dipercayai oleh ramai pihak, termasuk di negara kita.
Mungkin gara-gara cerita palsu dan berunsur fitnah itulah maka tidak dapat tidak, Pejabat Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan
khabar angin perihal rombakan kabinet yang dikatakan akan berlaku tidak
lama lagi.
Kenyataan tersebut turut menolak satu senarai menteri kabinet yang
dikatakan bakal digugurkan dari kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak yang tersebar meluas di laman dan aplikasi sosial baru-baru ini.
"Tidak ada perubahan dalam barisan kepimpinan kerajaan," tulis admin PMO menerusi laman Twitter rasminya, petang semalam.
Dalam satu senarai yang mula tersebar Isnin lalu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, enam nama menteri dikatakan bakal digugurkan.
Individu tersebut adalah Menteri Luar Datuk Anifah Aman, Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan
Malek, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.
Selain itu, seramai tiga
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom,
Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Seri Shahidan Kassim kononnya turut akan digugurkan sama. -Kedahnews.com