Cukai Masih Mampu Dimansuhkan Jika...

AMALAN kesukarelaan yang konprehensif daripada semua pihak dilihat cara terbaik bagi membantu kerajaan daripada cukai.
MASIH menjadi perdebatan ramai, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 1 April lalu bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) terus mendapat respon daripada pelbagai pihak.

Tidak kira golongan dan peringkat umur, ramai yang dilihat menyuarakan pendapat masing-masing sama ada menyokong dan tidak kurang yang menentang pelaksanaan cukai yang dikenakan kepada semua barangan dan perkhidmatan kecuali barangan yang dinyatakan berkadar sifar.

Namun, tidak dapat tidak menjadi tanggungjawab kerajaan dalam sesebuah negara, pengurusan kewangan awam merupakan suatu yang amat kritikal bagi memastikan sesebuah negara berada dalam keadaan stabil dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Justeru, pelaksanaan cukai merupakan keputusan yang perlu dilakukan bagi tujuan pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh untuk manfaat rakyat seperti pembangunan infrastruktur sosial, infrastruktur pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam.

Ia sebagaimana keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan kutipan cukai berpandukan pendapat sebahagian ulama termasuk Ibnu Taimiyah, Ibnu al-Musili al-Syafi’i, al-Syatibi, Ibnu Khaldun dan juga ulama semasa seperti Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni yang membenarkan kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.

Mengulas pembentangan kertas kerja Percukaian Dalam Islam, Pensyarah Fakulti Tamadun Islam, Dr. Mohd. Fauzi Abu berkata, selain menerusi cukai, kerajaan mempunyai satu lagi mekanisme yang boleh difikirkan bagi menggantikan kaedah percukaian dengan kerjasama daripada semua pihak dan juga masyarakat.

Ini tambahnya, adalah dengan cara pemerkasaan amalan kesukarelawan yang merupakan sektor ketiga dalam sumber ekonomi negara selain sektor kerajaan dan juga swasta.

PEMANTAUAN cukai perlu dilakukan sekerap mungkin bagi mengelakkan penganiayaan terhadap pengguna. - Gambar hiasan

“Apa yang kita lihat berlaku di negara ini pada hari ini adalah kebergantungan masyarakat terhadap kerajaan yang tinggi. Oleh itu, kerajaan perlu memperuntukkan kos yang tinggi bagi menampung keperluan kepada rakyat seperti kemudahan dan perkhidmatan awam.

“Apabila jumlah perbelanjaan yang tinggi berbanding pendapatan yang kurang, ia akan memberi kesan terhadap ketidakstabilan ekonomi. Oleh kerana itu, kerajaan membuat keputusan menstrukturkan sistem percukaian negara dengan melaksanakan GST.

“Namun, terdapat satu lagi sektor yang jika kita dapat memperhebat dan memaksimumkan peranannya dilihat mampu mengekalkan kestabilan ekonomi negara dan berpotensi mengurangkan beban kerajaan seterusnya mampu menggantikan cukai iaitu dengan memperkasa sektor kesukarelawan,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja pada program Muhadarah Ekonomi Islam anjuran Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam (PEKI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Antara amalan sukarelawan yang boleh dilaksanakan tambahnya, adalah seperti menerusi pemerkasaan amalan wakaf, pemerkasaan institusi zakat dan juga penglibatan individu kaya untuk berkongsi harta demi manfaat masyarakat.

“Jika orang ramai sedar kepentingan menyumbangkan wakaf dan kutipan wakaf pula itu dapat dimaksimumkan penggunaan dengan bijak akan memberikan manfaat yang sangat besar kepada masyarakat umum. Sebagai contoh, pembinaan sekolah hasil kutipan wakaf mampu memberikan pengajian percuma kepada murid.

“Begitu juga dengan kaedah perkongsian harta daripada individu yang kaya kepada golongan yang memerlukan dilihat dapat mengurangkan kebergantungan rakyat hanya kepada sektor kerajaan.

“Bagaimanapun, satu garis panduan juga perlu selaraskan jika kaedah itu dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan memantau pergerakan institusi kesukarelawan itu supaya kekal terkawal,” jelasnya.

Fauzi berkata, bukan sahaja di peringkat yang besar, penubuhan badan kesukarelawan di peringkat kecil seperti dalam organisasi dan satu perkampungan juga boleh dilaksanakan, namun memberi impak yang juga sederhana.

Sumber: Utusan