KUCHING – Kemudahan cuti tiga buat penjawat awam bagi urusan kematian
anggota keluarga terdekat merangkumi suami atau isteri, anak serta ibu
dan bapa kandung, diperluaskan kepada ibu dan bapa mentua, ibu dan bapa
angkat serta anak angkat yang sah di sisi undang-undang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemudahan itu yang
berkuat kuasa 1 Julai, adalah antara inisiatif kerajaan dalam menambah
baik pelaksanaan kemudahan Cuti Tanpa Rekod buat kakitangan kerajaan.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga memutuskan agar Pertubuhan
Keselamatan Sosial (Perkeso) meneruskan program saringan kesihatan
percuma bagi pekerja sektor swasta yang berumur 40 tahun, dengan
menyediakan perkhidmatan bergerak bagi membolehkan pemeriksaan saringan
kesihatan diadakan di premis majikan.
Perdana Menteri mengumumkan demikian semasa berucap pada majlis
sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo
Kuching di sini yang dihadiri kira-kira kira-kira 10,000 orang.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri
Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, anggota Kabinet persekutuan dan
negeri, di samping Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
Mohd Khalid Atan dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda.
Najib seterusnya mencadangkan supaya Perkeso memperluaskan liputan
perlindungan keselamatan sosialnya kepada semua pekerja tempatan dalam
sektor swasta tanpa mengira had gaji, dengan siling caruman pekerja yang
diinsuranskan ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM4,000.
Perkeso telah melaksanakan program saringan kesihatan percuma bagi
pekerja sektor swasta yang berumur 40 tahun dan ke atas sejak 2011.
Pada masa ini, liputan skim keselamatan sosial Perkeso dihadkan kepada pekerja yang bergaji RM3,000 dan ke bawah.
Cadangan ini dijangka memberi manfaat langsung dalam bentuk nilai
faedah yang lebih tinggi perlindungan Perkeso kepada tambahan kira-kira
500,000 orang pekerja, daripada 6 juta kepada 6.5 juta orang pekerja.
Semua pekerja dalam sektor swasta akan layak menikmati faedah perlindungan Perkeso secara automatik. – BERNAMA