"DAP Adalah Dalang" - Pemuda PAS

PERMATANG PAUH - Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Bagan, Azmi Jaafar mendakwa DAP merupakan dalang di sebalik dakwaan untuk cuba menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang sedang hangat diperkatakan di dalam parti itu.

Katanya, DAP sedang menunggu keputusan berhubung kedudukan kepemimpinan terbaru PAS yang menjadi "ayam tambatan" mereka seperti Mat Sabu dan beberapa pemimpin yang dikenal pasti yang kelihatan pro-DAP.

Azmi mendakwa, DAP sedang mengambil sikap berdiam diri buat sementara waktu bagi menunggu keputusan pemilihan PAS yang bakal berlangsung pada Jun ini sebelum meneruskan agenda mereka yang seterusnya.

"DAP ni adalah dalang.

"DAP ini sekarang tengah "silent".."silent" untuk menunggu muktamar yang akan datang ni dan melihat barisan kepimpinan mereka.. "line up" bagi mereka seperti Mat Sabu dan berbagai lagi kepimpinan-kepimpinan yang menyokong depa secara jelas," dakwa Azmi.

Azmi menegaskan bahawa sekiranya keputusan pemilihan kepimpinan PAS pada Jun ini memihak kepada golongan yang pro-DAP dan PKR nanti, dia menjangkakan rakyat akan mendengar kenyataan-kenyataan yang lebih "berapi" lagi selepas muktamar parti itu.

"Depa (DAP) tunggu tengok..Kalau yang ni (keputusan pemilihan PAS) memihak pun depa masih lagi kata... saya ingat akan ada lagi "statement-statement" yang mungkin berapi kot lepas muktamar," katanya.

Sebelum ini, kecoh diperkata di kalangan jemaah PAS mengenai gerakan sulit yang dikatakan cuba menjatuhkan Abdul Hadi dari jawatan Presiden parti.

Selain Abdul Hadi, dikatakan barisan kepimpinan ulama yang lain turut bakal menjadi "mangsa" cuba dijatuhkan pihak tertentu di dalam parti berkenaan.

DAP dalam kenyataannya sebelum ini turut menyifatkan Abdul Hadi sebagai seorang yang tidak bermaruah dan merupakan "pengkhianat bersiri" dalam kepimpinan Pakatan Rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP dalam kenyataannya menegaskan bahawa DAP telah memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi dan menggesa supaya PAS mencari Presiden yang baru bagi menggantikan beliau.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang pula kemudian dalam satu kenyataan turut menjejak langkah DAP, mengecam Abdul Hadi secara terbuka sehingga mencetus kemarahan ahli serta pemimpin PAS di peringkat akar umbi.

Meskipun didesak dan diberi tempoh oleh Pemuda PAS Pulau Pinang untuk meminta maaf atas kenyataan biadap itu, AMK enggan berbuat demikian dan Pengarah Pilihanraya PKR, Saifuddin Nasution menegaskan bahawa PKR malas melayan kerenah Pemuda PAS. 

Kemelut yang berlaku tersebut makin meruncing dan masih lagi gagal diselesaikan walaupun dalam satu kenyataan media, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa ia sudah selesai baru-baru ini. -Kedahnews.com