DAP Dakwa Pemberhentian Kakitangan MAS Mengundang Malapetaka Ekonomi

Liew Chin Tong
KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP mendakwa pemberhentian beramai-ramai kakitangan Malaysia Airlines (MAS) merupakan satu bentuk hukuman ke atas pekerja yang menyalahi amalan buruh.

Pengarah Pendidikan Politik DAP yang juga Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong mendakwa, langkah yang bakal dilaksanakan pemilik MAS itu akan turut mengakibatkan malapetaka ekonomi andai ditiru oleh syarikat lain dalam negara.

“Bukan sesuatu yang luar biasa bagi syarikat menamatkan pekerja dengan pampasan, tetapi untuk menamatkan seluruh syarikat dan mewujudkan semula sebuah syarikat baharu adalah satu manipulasi sinis undang-undang buruh.

“Jika syarikat-syarikat swasta lain mencontoho MAS akan menyebabkan malapetaka ekonomi yang besar dengan kadar pengangguran yang tinggi,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Chin Tong mendakwa, beliau dimaklumkan MAS akan hanya mengekalkan dua pertiga daripada kakitangannya dan selebihnya dijemput melaporkan diri kepada Pusat Pembangunan Korporat untuk menjalani latihan semula.

“Kakitangan MAS tidak boleh dijadikan mangsa dan memikul kesalahan pengurusan MAS,” dakwanya.

Media semalam melaporkan, kira-kira 20,000 pekerja MAS sedang bimbang dengan masa depan mereka bersama syarikat penerbangan tersebut.

Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, mereka akan menerima surat sama ada penamatan kerja atau surat tawaran semula untuk berada di syarikat berkenaan di bawah pengurusan baharu.

MAS akan menamatkan keseluruhan tenaga kerjanya bagi memulakan semula syarikat penerbangan itu dalam skala yang lebih kecil dengan memberi tumpuan kepada pasaran serantau dan bukannya antarabangsa. -Mynewshub.cc