Universiti Islam Antarabangsa Malaysia |
KUALA LUMPUR – Pemuda DAP (Dapsy) mendakwa pihak pentadbiran
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak bertamadun kerana menghalang
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berucap
mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam universiti itu
semalam.
Pengarah Hal-Ehwal Varsiti Dapsy, Chow Yu Hui mendakwa, UIAM perlu
meminta maaf di atas tindakan kakitangan keselamatannya merampas
mikrofon Rafizi ketika pemimpin pembangkang itu sedang berucap.
“Pentadbiran UIA tidak berhak untuk bercampur tangan dalam aktiviti
ataupun forum mahasiswa dan tindakan pihak keselamatan UIA yang merampas
mikrofon Rafizi ketika berucap adalah amat biadab dan menjatuhkan imej
dan reputasi UIA.
“Mahasiswa berhak untuk mengadakan forum ilmiah,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Yu Hui mendakwa, pentadbiran UIAM tidak boleh menyekat hak mahasiswa
untuk menjemput penceramah kerana mahasiswa adalah pewaris negara dan
mampu menilai kesahihan ucapan penceramah.
Dakwanya, semua mahasiswa wajar diamanahkan untuk mengadakan aktiviti
secara bebas selaras dengan semangat otonomi kampus dan kebebasan
akademik.
“Pihak UIA perlu meminta maaf atas tindakannya yang menghalang forum
GST serta aksi pihak keselamatan UIA yang merampas mikrofon Rafizi
ketika beliau sedang berucap.
“Tindakan sebegini adalah tidak bertamadun dan patut dikutuk sekeras-kerasnya,” dakwanya.- Kedahnews.com