DAP Jangan Cuba Nak Ajar PAS - Khairil Nizam


ALOR SETAR - Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Khairil Nizam Khirudin menegaskan pada DAP supaya jangan memandai-mandai mengajar ahli PAS dan mencampuri urusan dalaman PAS khususnya menjelang muktamar parti itu pada awal Jun ini.

Secara sinis, Khairil Nizam turut menempelak DAP yang dikatakan "resah gelisah" dan turut menyibuk berkempen di media-media tertentu seolah cuba mengajar para perwakilan parti itu memilih pemimpin parti itu dalam pemilihan PAS kali ini.

"Suka saya mengingkatkan kepada DAP bahawa yang akan bermuktamar dan pemilihan kepimpinan pada awal Jun nanti adalah para pimpinan dan perwakilan PAS.

"Jadi, amatlah tidak manis sekali apabila DAP pula begitu resah-gelisah dan sibuk berkempen di media untuk memberi tunjuk-ajar kepada para ahli PAS siapa yang layak untuk mengemudi PAS.

"Sepertimana DAP marah sekiranya orang PAS berkempen di dalam pemilihan kepimpinan DAP, maka seperti itulah yang kami harapkan agar DAP usahlah sibuk tumpang berkempen untuk mengajar kepada perwakilan PAS siapakah yang layak untuk memimpin PAS sesi kepimpinan 2015/2017," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Pemimpin sayap PAS itu turut menyelar DAP yang dikatakan telah melemparkan fitnah dan mengeluarkan banyak kenyataan yang berunsur provokasi terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekaligus mencetus kemarahan ramai ahli serta penyokong parti itu.

Bagaimanapun, suara Pemuda PAS sebelum ini pernah dipandang remeh dan tidak dipedulikan parti-parti sekutu PAS, khususnya berkenaan desakan mengenai isu perlaksanaan hukum hudud di Kelantan yang sedang diusahakan.

PKR sebelum ini enggan mempeduli desakan Pemuda PAS Pulau Pinang untuk meminta maaf atas tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dikatakan telah menghina Abdul Hadi.

Selain itu, PKR juga tegar bersekongkol dengan DAP yang berpendirian menolak hudud yang sedang diusahakan Kerajaan PAS Negeri Kelantan dan enggan berubah sebagaimana yang didesak Pemuda PAS, meskipun mengharapkan sokongan dari jentera parti berkenaan ketika PRK Permatang Pauh berlangsung tempohari. -Kedahnews.com