DAP Johor Pun Bantah Kerajaan Negeri Tanggung Kos GST


KUALA LUMPUR – DAP membantah keputusan kerajaan Johor untuk menyerap RM3.19 anggaran hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka diperoleh menerusi kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah petadbirannya sepanjang tahun ini.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mendakwa, kerajaan Johor tidak sepatutnya mengambil jalan singkat dengan menyerap kos GST berikutan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pelaksanaan GST ke atas perkhidmatan kerajaan negeri sebagai tidak masuk akal.

“Hasil kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2015 dijangka RM235 bilion sedangkan hasil kerajaan Johor dijangka RM1.239 bilion. Ini tidak masuk akal untuk kerajaan negeri yang menyerap GST berbanding Kerajaan Persekutuan,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Chin Tong meminta kerajaan Johor bekerjasama dengan semua kerajaan negeri lain supaya menolak GST dikenakan ke atas perkhidmatan kerajaan negeri.

Media hari ini melaporkan kerajaan Johor akan menyerap kira-kira RM3 juta anggaran hasil GST yang dijangka diperoleh menerusi semua 16 PBT di bawah tadbirannya, sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi dipetik berkata, langkah menyerap cukai berkenaan bagi mengurangkan beban masyarakat yang sering menggunakan perkhidmatan disediakan PBT terbabit.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan semua 16 PBT termasuk Lembaga Perbandaran Johor Tenggara supaya tidak mengenakan GST ke atas perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan mereka.

“Kerajaan negeri mengarahkan semua PBT supaya tidak perlu memungut GST untuk membolehkan perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan mereka dapat diserap,” katanya.

Sultan Johor pada Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor (DUN) Ke-13 baru-baru ini meminta suipaya dasar pelaksanaan GST sentiasa diteliti dan dikaji supaya mengikut kesesuaian keadaan.

Baginda bertitah, mengikut maklumat diperoleh, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan juga diarah mengenakan GST terhadap perkhidmatan diberikan.

Titahnya, perkara berkenaan tidak masuk akal kerana perkhidmatan kerajaan adalah tanggungjawab asas kepada rakyat dan tidak wajar beban ditambah dengan GST.