DAP Sedia 5 Soalan "Cepu Mas" Untuk Hadi Jika Kekal Presiden

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
ALOR SETAR – DAP menyediakan sebanyak lima soalan "cepu mas" yang ditujukan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya beliau berjaya mengekalkan diri sebagai Presiden PAS pada muktamar parti itu pada awal Jun ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya yakin bahawa Abdul Hadi "dijamin" akan berjaya mempertahankan jawatannya tanpa memerlukan sebarang bantuan luar dalam pemilihan tersebut.

“Atas sebab ini pimpinan tertinggi DAP dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 25 Mei 2015 mengulangi kesediaan untuk berhadapan sebarang kemungkinan bagi Pakatan Rakyat pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Guan Eng bagaimanapun menafikan DAP cuba mencampuri pemilihan dalaman mana-mana parti politik temasuk PAS seperti yang didakwa ramai pemimpin parti itu.

Namun, katanya, DAP tidak akan dibisukan daripada menyatakan apa yang benar dan mempertahankan yang hak dari yang batil hanya disebabkan pemilihan PAS.

Sehubungan itu, katanya, DAP akan terus membangkitkan lima persoalan berikut yang diperlu dijawab oleh Abdul Hadi:

1. Kenapa Abdul Hadi memungkiri komitmen PAS kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan jaminan peribadinya kepada pimpinan Pakatan?

2. Kenapa Abdul HAdi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kemelut 1MDB?

3. Kenapa Abdul Hadi mahu mewujudkan ‘kerajaan perpaduan’ bersama UMNO?

4. Kenapa Abdul Hadi enggan menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh baru-baru ini?

5. Kenapa Abdul Hadi mengisytiharkan bahawa menjadi kewajipan umat Islam untuk menyatakan kemarahan terhadap DAP kerana membantah undang-undang hudud?

Guan Eng menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan Abdul Hadi membabitkan kesemua persoalan tersebut sebelum ini tidak konsisten dengan perakuan bertaat setia dan menyokong Pakatan Rakyat.

“Jika Abdul Hadi tidak boleh mengotakan janjinya, bagaimana DAP boleh bekerjasama dengan beliau atas dasar hormat dan percaya.

“Pimpinan senior PAS juga mengelak daripada menjawab lima persoalan ini dengan cuba menyalahkan DAP jika terjadinya perpecahan dalam Pakatan Rakyat,” katanya yang bertali arus menghentam Presiden PAS itu.

DAP sebelum ini telah membuat keputusan memutuskan sebarang hubungan dengan Abdul Hadi dan menjangka Pakatan Rakyat akan berkubur dalam tempoh dua minggu dipercayai merujuk kepada keputusan pemilihan PAS yang dijadualkan berlangsung pada awal Jun ini. -Kedahnews.com