Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan bahawa untuk mewujudkan kabinet bayangan Pakatan Rakyat, ketiga-tiga parti yang membentuk gabungan pembangkang itu perlu duduk semeja untuk berbincang tentang hal tersebut.
Namun katanya, sikap dan pendirian Abdul Hadi yang seolah tidak boleh dibawa berunding telah merencatkan agenda menubuhkan kabinet bayangan Pakatan Rakyat.
"Sedangkan Abdul Hadi tidak berunding dengan partinya (PAS), bagaimana DAP mahu mengharap dia berunding dengan kita?" katanya kepada media di ibu negara, semalam.
Selain itu, Guan Eng turut menegaskan parti tetap dengan pendirian memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi yang dilabel sebagai penyebab ketidaksepakatan Pakatan Rakyat.
"Kita sudah buat keputusan untuk tidak ada hubungan dengan Hadi.
"Kita tidak berhubungan dengan Hadi kerana beliau tidak percaya dengan rundingan. Beliau selalu membuat keputusan membelakangi bukan sahaja keputusan Pakatan Rakyat, malah ahli partinya sendiri.
"Kerana itu, kabinet bayangan Pakatan Rakyat tidak akan berfungsi," tegas anak kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, itu lagi.
Sementara itu, Abdul Hadi dalam satu kenyataannya semalam turut menegaskan pendirian PAS untuk marah pada DAP ekoran keputusan parti itu menolak perlaksanaan hudud di negeri Kelantan.
Katanya, PAS bertanggungjawab untuk marah DAP adalah kerana Allah.
"Namun demikian dia (DAP) terus buat kenyataan menentang Kelantan. Bila ada perkara macam ini, tanggungjawab kitalah untuk marah.
"Kalau tak ada marah dalam Islam, tak ada kemanisan iman," tegas Abdul Hadi mempertahan pendiriannya.
DAP sebelum ini membayangkan Pakatan Rakyat akan hancur sekiranya Abdul Hadi kekal menjadi Presiden PAS pada muktamar pemilihan kepimpinan PAS yang bakal berlangsung pada Jun ini. -Kedahnews.com