Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) selamat tiba di Jepun bagi melakukan lawatan rasmi selama tiga hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA |
TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di ibu
negara Jepun pagi ini untuk lawatan rasmi tiga hari yang dijangka
memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang sudah lama terjalin di antara
kedua buah negara.
Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di lapangan
terbang antarabangsa Haneda dengan penerbangan khas pada 8.25 pagi waktu
tempatan (7.25 pagi waktu Malaysia).
Ketibaan mereka disambut Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.
Perdana Menteri dan isteri kemudian disambut di Palace Hotel di pusat
bandar Tokyo, di mana beliau akan menginap di sana.
Menteri
Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, antara anggota delegasi Malaysia yang turut
sama mengiringi beliau.
Lawatan rasmi atas undangan Perdana Menteri,
Shinzo Abe ini adalah lawatan kedua Najib sejak mengambil alih tampuk
pemerintahan negara pada 2009.
Pada sebelah petang hari ini, Najib akan menghadiri satu majlis
koktel bersama kira-kira 250 pelajar dan rakyat Malaysia. Semasa lawatan
di sini, Najib mempunyai jadual ketat, termasuk atur cara utama
menghadap Maharaja Jepun, Akihito dan Maharani Michiko di Imperial
Palace pada Isnin.
Beliau juga akan menghadiri mesyuarat meja bulat dengan 34 kapten
industri sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya
Abe.
Pada Selasa, Najib akan menyampaikan ucaptama pada Rundingan Meja
Bulat Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF), sebelum berlepas ke Sendai
untuk mengakhiri lawatan beliau dengan mengadakan dialog dengan para
pelajar di Universiti Tohoku.
Minat Jepun untuk mengambil bahagian dalam projek rel berkelajuan
tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura dan fasa kedua Dasar
Pandang Ke Timur, dijangka menjadi agenda utama semasa lawatan itu.
Sementara itu, Rosmah mempunyai atur cara berasingan dan beliau
dijangka melawat Institute for Radiological Sciences di Chiba serta
melawat Tugu Peringatan Hiyoriyama. – BERNAMA