"Datanglah Jenguk Anak-Anak Yatim Ni..", Pesan Pak Cu Pada Yana FMC

ALOR SETAR - Adik bongsu mangsa kemalangan di lebuhraya DUKE, Faizznur Asyraf Husain, 25, mempelawa ahli kelab Familia Myvi Club (FMC) Yana dan enam pemandu Myvi yang dipercayai berlumba itu untuk datang menjenguk anak-anak saudaranya yang kini bergelar yatim piatu.

Adik kepada adik bongsu Allahyarham Fairuz itu berkata, dia tidak meminta bantuan atau pampasan dari Yana dan rakan-rakannya itu, namun memadailah dengan bertanyakan khabar kepada dua anak kecil yang kehilangan ibu, ayah dan seorang adik yang masih bayi.

“Saya dimaklumkan pemandu itu semua telah diambil keterangan jadi saya tak berhak untuk memanggil ke apa.

“Kalau dia rasa ada inisiatif berjumpa jenguk sendiri anak-anak ini ditinggalkan oleh mak dan bapa untuk selamanya silakan.

“Silakan, saya tidak akan melarang, saya tidak akan marah, saya hanya minta satu datang jenguk dan lihat keluarga saya dan anak-anak arwah, itu dah memadai.

“Bukan saya minta bantuan, pampasan dari mereka, pampasan itu semua biar undang-undang yang tentukan,” katanya yang dipetik dari sebuah portal.


Justeru itu, Faizznur "berbesar hati" jika Yana yang mencetus kemarahan ramai rakyat di negara ini supaya tampil bertemu dengan keluarganya untuk memberi penjelasan sewajarnya.

“Saya mohon kepada saudari Yana yang tengah hangat dengan cerita dia sekarang.

“Jika benar anda tidak bersalah, anda tampil berhadapan dengan keluarga saya ataupun secara peribadi dengan saya. Tampil, jelaskan benar ataupun tidak kemudian lawatilah anak-anak arwah ini.

“Saya difahamkan dia back up (pertahankan) kawan dia dengan kata-kata yang telah membangkitkan kemarahan satu Malaysia.

“Rakyat satu Malaysia telah sakit hati dengan kata-kata dia seolah-olah dia tidak mempunyai hati dan perasaan, dia back up orang secara membuta tulis,” pesan Faizznur kepada Yana. 

Faizznur turut memberikan jaminan bahawa pertemuan itu bukanlah untuk membalas dendam atau seumpamanya, namun lebih kepada hanya untuk membolehkan Yana dan para pemandu-pemandu lumba haram bertemu serta melihat sendiri apa yang telah mereka lakukan. -Kedahnews.com