Datuk Ditetak Perompak Di Sungai Petani

Keadaan mangsa yang dikelar di tangan dan diikat menggunakan cebisan tuala dalam kejadian dekat Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri awal pagi semalam.
SUNGAI PETANI – “Kena Rompak”. Itu sahaja perkataan yang sempat keluar apabila talian dijawab bapa saudara sebelum telefon dicampak suspek rompak dan tetak dekat Kampung Padang Buluh awal pagi semalam.

Mangsa yang hanya mahu dikenali Amira, 28, berkata, dia menyangka datuknya diserang gout kerana tiba-tiba meraung sakit tetapi apabila sampai ke depan pintu bilik ternampak mangsa dikerumuni empat suspek.

Kejadian yang berlaku lebih kurang jam 4.15 pagi itu menyebabkan datuk yang berusia 80 tahun ditetak di bahagian tangan kiri selain diikat kaki dan tangan menggunakan cebisan tuala.

Amira yang menetap di Pahang tidak menyangka hasratnya untuk tinggal di kampung bersama bayi berusia lima bulan untuk beberapa hari bersama ibu, nenek dan datuk meninggalkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Ketika itu saya keluar untuk melihat kalau-kalau tok wan sakit kaki, tetapi belum sempat saya sampai kepada tok wan, seorang suspek menerkam saya dengan menutup muka dan mulut menggunakan tangan yang dipakai sarung.

“Namun, dalam kekalutan itu, bayi yang saya tinggalkan di bilik menangis menyebabkan saya merayu dan meminta belas ihsan suspek supaya membenarkan saya ke bilik melihat bayi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Amira, ketika di bilik dan semasa suspek berpatah balik ke arah datuknya, dia mengambil kesempatan mencapai telefon bimbit serta menghubungi saudara yang tinggal berdekatan.

“Talian diangkat, namun belum sempat saya bercakap, seorang daripada suspek meluru masuk ke bilik dan cuba menerkam.

“Dalam masa sama, saya menjerit memaklumkan ‘kena rompak’ sebelum telefon saya dicampak. Suspek juga mengugut bunuh dan kerat jari kerana sedang memegang gunting pemotong (cutter) jika saya berani melawan,” katanya.

Menurutnya, nenek yang turut mendengar bunyi bising keluar untuk melihat apa yang terjadi sebelum dia turut diikat kaki, tangan dan mulut.

Katanya, ibu yang ketika itu bersembunyi di biliknya bagaimanapun sempat menghantar khidmat pesanan ringkas kepada saudara dan jiran untuk memaklumkan kejadian.

Suspek yang kesemuanya memakai topeng dan sarung tangan itu turut menggeledah rumah kedai didiami mangsa dan sempat melarikan barang kemas, wang tunai serta kad prabayar sebelum melarikan diri apabila tindakan mereka disedari jiran dan saudara.

Kerugian dianggarkan bernilai RM20,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pihaknya  menerima laporan mengenai kejadian yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

“Kita ada menerima laporan dan akan menyiasat perkara ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian